URUS - Ke Arah Ketahanan Kewangan Masa Depan
Satu skim usaha sama antara industri perbankan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk membantu peminjam/pelanggan mengurus hutang bank mengikut kemampuan dan memberi sokongan pendidikan dan nasihat kewangan agar kewangan anda lebih berdaya tahan.
URUS merupakan skim usaha sama antara industri perbankan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), iaitu Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang bertujuan untuk membantu golongan B50 yang benar-benar perlu dibantu untuk mendapatkan bantuan lanjutan bayaran balik pinjaman/pembiayaan melalui pelan kewangan peribadi yang akan menyatakan jumlah bayaran balik ansuran bulanan serta jadualnya sehingga 24 bulan. Pelan ini akan mengambil kira kesemua hutang yang sedia ada oleh peminjam/pelanggan dan jumlah pendapatan yang mereka mampu sediakan untuk pembayaran balik hutang, selepas menolak perbelanjaan sara hidup.
Ia merupakan satu Pelan Kewangan Peribadi yang holistik untuk membantu peminjam/pelanggan mengurus hutang bank mengikut kemampuan serta memberikan sokongan pendidikan dan nasihat kewangan agar kewangan anda lebih berdaya tahan.
Pelan kewangan peribadi ini meliputi:
- Pengecualian faedah/keuntungan untuk 3 bulan; dan/atau
- Penangguhan bayaran dan pilihan lain termasuk pengurangan ansuran yang selaras dengan kemampuan anda; dan
- Pemerkasaan kewangan melalui sokongan berbentuk nasihat kewangan dan pendidikan untuk membina ketahanan kewangan
URUS ini tersedia bagi pelanggan/peminjam Bank B50 yang memenuhi semua kriteria berikut:
- Pendapatan isi rumah sehingga RM5,880
- Kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan sebanyak 50% atau lebih
- Pinjaman/pembiayaan berbayar yang sedang berada dalam program bantuan bayaran balik
Peminjam/pelanggan yang mempunyai pinjaman/pembiayaan dengan satu bank boleh mohon terus dengan bank tersebut.
Sekiranya peminjam/pelanggan mempunyai pinjaman/pembiayaan dengan pelbagai bank, mereka boleh memohon dengan hanya satu bank yang mana pinjaman/pembiayaan tersebut sedang berada dalam program bantuan bayaran balik. Jika peminjam/pelanggan ingin mendapatkan bantuan khusus yang lain, mereka boleh hubungi bank untuk maklumat lanjut.
Permohonan URUS boleh dilakukan dengan melengkapkan borang permohonan dengan bank mereka dan menyenaraikan semua pinjaman/pembiayaan mereka. Untuk dokumentasi, pemohon hanya perlu mengemukakan salah satu daripada yang berikut untuk menunjukkan pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50% atau pemberhentian kerja:
- Penyata KWSP; atau
- Penyata bank; atau
- Borang cukai pendapatan; atau
- Slip gaji/baucar bayaran; atau
- Surat pemberhentian kerja oleh majikan
Setelah permohonan diterima oleh pihak bank, AKPK akan menggabungkan semua perincian pinjaman/pembiayaan peminjam/pelanggan ke dalam satu pelan kewangan peribadi.
Setelah diteliti, AKPK akan memaklumkan status permohonan melalui e-mel dalam masa 10 hari bekerja dari tarikh pihak bank memaklumkan penerimaan permohonan peminjam/pelanggan.
Jika berjaya, peminjam/pelanggan akan menerima pelan kewangan peribadi yang menyatakan jumlah bayaran balik bulanan yang dijadualkan sehingga 24 bulan. Bagi pinjaman/pembiayaan kenderaan bermotor atau sewa beli, pihak bank sendiri yang akan memaklumkan status permohonan mereka. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Soalan Lazim (FAQ) di laman sesawang bank anda atau AKPK. Penguna juga boleh menghubungi AKPK melalui Infoline URUS di 03-8966 3055.