Inisiatif Bank Bergerak Di Bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)
Inisiatif bank bergerak merupakan pendekatan terbaik bagi meringankan masalah untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan di luar bandar. Bank bergerak dapat merapatkan jurang pengguna di kawasan pedalaman mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan tanpa perlu menempuh perjalanan yang jauh.
Bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendapat perkhidmatan perbankan, kerajaan telah menawarkan peruntukan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sebanyak RM18 juta untuk bank tempatan menyediakan unit bank bergerak di kawasan pedalaman dan mukim di luar bandar di seluruh negara.
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) merupakan antara bank yang giat dengan inisiatif bank bergerak. Setakat Mac 2022, kedua-dua bank ini telah menyediakan 11 unit bank bergerak di bawah PEMULIH di Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, Selangor, Sabah dan Sarawak.
Bank bergerak akan beroperasi menurut jadual lawatan mingguan ke lokasi yang telah ditentukan. Di samping itu, inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan rangkuman kewangan di Malaysia, serta memastikan golongan yang layak mendapat bantuan kerajaan akan menerima bantuan kewangan dengan mudah. Menurut Bank Negara Malaysia, terdapat sekitar 600 mukim di Malaysia yang masih tidak mempunyai pusat akses kewangan yang mencukupi.
Salah satu aspek penting yang ditekankan dalam pelaksanaan bank bergerak ialah memastikan bank berperanan menyokong masyarakat luar bandar untuk menggunakan akaun perbankan di samping meningkatkan pengetahuan kewangan mereka. Fungsi perkhidmatan perbankan serta kepentingannya dalam kehidupan seharian masyarakat merupakan antara maklumat utama yang akan ditekankan.
Tanpa akses yang mencukupi kepada perkhidmatan kewangan, masyarakat kita cenderung untuk menyimpan secara tunai, melalui barang bernilai seperti emas atau menyimpan dalam bentuk harta benda seperti hartanah mahupun binatang ternakan. Melalui inisiatif bank bergerak, masyarakat diberi pilihan untuk membuat simpanan dengan lebih selamat dan mudah diakses jika berdepan dengan situasi kecemasan. Selain daripada itu, perancangan kewangan jangka panjang seperti menyimpan untuk tujuan menunaikan haji juga dapat dijalankan di bank bergerak.
Di samping itu, transaksi pemindahan wang merupakan satu lagi perkhidmatan bank bergerak yang amat berguna. Contohnya, kita boleh memindahkan wang untuk anak yang sedang belajar. Lebih seronok lagi jika kita dapat menerima wang daripada anak yang bekerja jauh di kota. Pemindahan wang juga dapat memungkinkan kita menjalankan transaksi pembelian/penjualan dalam talian. Contohnya, usahawan di kawasan pedalaman boleh memasarkan produk mereka ke seluruh negara, menerima tempahan secara dalam talian, menghantar tempahan secara pos dan mendapatkan bayaran melalui akaun yang dibuka dan diuruskan di bank bergerak.
Sebarang rungutan serta aduan – seperti perkhidmatan yang terhad atau tidak konsisten, layanan kurang elok, kemudahan kurang sesuai – bolehlah disalurkan kepada Bank Negara Malaysia di Pusat Perhubungan Pelanggan (BNMTELELINK) di talian 1-300-88-5465 atau melalui borang di laman sesawang telelink.bnm.gov.my.
“Bank bergerak mampu melonjakkan aktiviti ekonomi luar bandar bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam perkembangan arus persekitaran kewangan masa kini yang menjurus ke arah pendigitalan. Potensi bank bergerak amat mengujakan. Oleh yang demikian, pengguna disarankan agar memanfaatkan perkhidmatan bank bergerak ini dengan sebaiknya.” - Dato’ Paul Selvaraj, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Kesimpulannya, inisiatif bank bergerak sememangnya merupakan pendekatan terbaik bagi meringankan masalah untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan di luar bandar. Bank bergerak dapat merapatkan jurang dan memastikan pengguna di kawasan pedalaman mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan tanpa perlu menempuh perjalanan yang jauh. Ianya juga mampu menjadi perantara untuk menggalakkan pendaftaran digital bagi penawaran perkhidmatan kewangan secara menyeluruh untuk pengguna di luar bandar. Usaha ini juga adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan pendigitalan dalam ekonomi.