Ada Apa Dengan Pengguna, Inflasi Dan Harga Barang?
Perkara pertama yang terlintas dalam minda apabila memperkatakan tentang inflasi adalah kenaikan harga barangan keperluan asas pada hari ini. Namun, sejauh manakah pemahaman pengguna tentang inflasi dan bagaimana ianya memberi kesan ke atas kuasa membeli rakyat?
Apakah itu inflasi?
Secara umumnya, inflasi merupakan kenaikan harga yang berlaku bagi barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu. Kadar inflasi lazimnya diukur melalui pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi perubahan harga barangan di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inflasi Malaysia meningkat sebanyak 2.5% bagi tahun 2021, dan ini didorong oleh kenaikan harga makanan dan bahan api. Kadar inflasi pada tahap 2.5% (berdasarkan IHP) membawa maksud bahawa perbelanjaan purata individu atas barangan utama dan perkhidmatan telah meningkat pada kadar 2.5% sepanjang tempoh setahun.
Walau bagaimanapun, untuk membendung kesan negatif inflasi, kerajaan telah menyenaraikan beberapa barangan asas utama ke dalam senarai barangan kawalan. Hal ini bagi mengekalkan kemampuan rakyat untuk memiliki barangan tersebut, di samping untuk mengelakkan penipuan harga semasa, kekurangan bekalan barangan serta melambatkan pergerakan inflasi.
Bagaimana pula dengan kuasa membeli?
Secara semula jadi, kuasa membeli akan merosot disebabkan inflasi. Dengan harga yang semakin meningkat, adalah mustahil untuk mempunyai kuasa pembelian barangan dan perkhidmatan yang sama seperti sebelumnya.
Kejatuhan nilai mata wang negara turut mempengaruhi kenaikan inflasi. Barangan import akan bertambah mahal. Para pengeluar akan mengambil kesempatan untuk memindahkan kos komponen yang diimport, termasuk kos bahan mentah, kepada negara pengguna. Hal ini juga akan mengakibatkan kenaikan harga barang terhadap pendapatan isi rumah.
Inflasi boleh berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan bekalan dan permintaan. Harga diesel telah naik berkali ganda sejak awal tahun 2015 kerana permintaan telah meningkat dengan ketara di seluruh dunia, manakala bekalan tidak bertambah pada kadar yang sama. Pada tahun 2015, harga diesel adalah sekitar RM1.95 seliter dan kini harganya adalah sekitar RM2.15 seliter pada Mei 2022.
Bagaimanakah pengguna boleh menangani inflasi dan kenaikan harga barangan?
Adalah sukar bagi pengguna mempengaruhi kadar inflasi sebagai seorang individu kerana ia adalah berbeza bagi setiap negara. Walau bagaimanapun, pengguna perlu bertindak dengan bijak dalam menguruskan wang untuk menangani masalah inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.
Petunjuk kenaikan harga bagi sesuatu barangan atau perkhidmatan menerusi kadar inflasi boleh menjadi rujukan kepada pengguna untuk membuat perbandingan harga. Gelagat pembelian pengguna (Consumer Purchasing Behaviour) yang selama ini cenderung memilih item kegemaran walaupun harganya tinggi, harus diubah. Pengguna digalakkan supaya membuat perbandingan harga terlebih dahulu dan mencari produk atau jenama alternatif yang menawarkan harga yang lebih berpatutan.
Dalam isu ini, inflasi boleh dikawal dengan memperbaiki gelagat atau perilaku pengguna semasa melakukan pembelian. Pengguna boleh menjadi seorang pengguna yang bijak dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
Kesimpulannya, inflasi sudah tentunya memberi kesan terhadap poket semua pengguna dalam jangka masa panjang. Oleh itu, pengguna perlu mempraktikkan amalan pengurusan kewangan yang bijak dalam mengemudi arus inflasi serta kadar kenaikannya. Anda juga boleh merujuk kepada Rencana Pemerkesaan Semula Kawalan Kewangan Peribadi pada Waktu yang Mencabar dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2021. Selain itu, sebelum mendapatkan sebarang produk kewangan seperti pinjaman peribadi atau kad kredit, bandingkan pilihan yang ada di pasaran dan pilih produk yang sesuai dengan gaya hidup anda.
Sumber: www.fomca.org.my