Penipuan Dalam Insurans - Lindungi Diri Anda!

Penipuan insurans sememangnya semakin berleluasa pada hari ini. Oleh yang demikian, anda perlu persiapkan diri dengan pengetahuan yang diperlukan untuk mengelak daripada menjadi mangsa. Artikel ini adalah untuk anda mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penipuan dalam insurans.


Apakah maksud penipuan dalam insurans?

Penipuan dalam insurans adalah segala helah/modus operandi yang dilakukan dengan sengaja, sama ada:

  • oleh ejen insurans terhadap syarikat insurans atau pengendali takaful; atau 
  • takaful palsu; atau 
  • oleh pengguna itu sendiri untuk mendapatkan keuntungan kewangan secara tidak sah.
Perkara ini mungkin berlaku dalam sesuatu transaksi oleh pihak yang berlainan, misalnya pemegang polisi atau pihak ketiga yang membuat tuntutan.


Wujud pelbagai bentuk penipuan insurans, contohnya seperti nilai tuntutan yang dinaikkan berlipat kali ganda, sehinggalah kepada tuntutan palsu di mana kerugian sebenarnya tidak pernah berlaku.


Komponen utama penipuan dalam insurans adalah:
  • Keinginan untuk memanipulasi syarikat insurans atau pengendali takaful supaya membayar pampasan ansuran yang lebih tinggi dari jumlah asal.
  • Niat untuk memperdaya syarikat insurans atau pengendali takaful.


Penipuan berlaku dalam semua kelas insurans

Contoh penipuan dalam insurans termasuklah:


1. Mewujudkan tuntutan palsu atau menyatakan fakta tidak benar untuk mendapatkan bayaran oleh pemegang insurans
  • Tuntutan palsu terhadap kemalangan atau kecederaan yang tidak pernah berlaku.
  • Membuat tuntutan terhadap polisi insurans kemalangan diri bagi kecederaan yang disengajakan.
  • Menipu tentang berlakunya kematian untuk mendapatkan bayaran manfaat atau mengemukakan tuntutan kematian palsu.
  • Pecah masuk, kecurian atau vandalism yang disengajakan.
  • Kebakaran yang disengajakan.
  • Membuat tuntutan hilang upaya separa atau menyeluruh akibat kecederaan ringan yang disengajakan.
  • Mendapat bayaran hilang upaya walhal bekerja di tempat lain dan menjalankan tugas kerja yang sama atau serupa.
  • Pembekal perkhidmatan perubatan memberikan rawatan perubatan yang tidak diperlukan.


2. Ejen palsu

  • Penjualan insurans oleh syarikat insurans atau pengendali takaful yang tidak berlesen.
  • Seseorang yang menyamar sebagai ejen syarikat insurans atau ejen pengendali takaful dan menjual polisi insurans palsu kepada pengguna. 
  • Mereka mungkin memohon polisi tulen atas nama anda. Walau bagaimanapun, mereka menyimpan bayaran premium anda dan membatalkan polisi sejurus selepas itu tanpa pengetahuan anda.
  • Pengguna mungkin hanya mengetahui bahawa polisi telah dibatalkan apabila anda perlu membuat tuntutan insurans. Tiada polisi yang sah wujud atas nama anda. Akibatnya, tuntutan anda terbatal dan ditolak.



Bagaimana membuat aduan dan saluran penyelesaian yang tersedia?


  • Sekiranya anda mempunyai aduan tentang produk, perkhidmatan syarikat insurans atau anda tidak berpuas hati dengan penolakan atau tawaran penyelesaian tuntutan, anda hendaklah cuba menyelesaikan aduan tersebut terlebih dahulu dengan Unit Aduan Syarikat insurans berkenaan.
  • Jika anda masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat, anda boleh menulis sama ada kepada Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (Ombudsman for Financial Services - OFS) atau Bank Negara Malaysia. Anda boleh merujuk kepada pegawai di Unit Aduan syarikat insurans yang berkaitan tentang saluran yang betul untuk mengendalikan aduan anda.
  • Aduan kepada OFS hendaklah dikemukakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh keputusan muktamad syarikat insurans. OFS mengendalikan pertikaian antara pihak menuntut dengan syarikat insuransnya sendiri atau syarikat insurans pihak ketiga.




Sebarang pertanyaan lanjut mengenai OFS, sila hubungi di talian:


Ombudsman Perkhidmatan Kewangan
Tingkat 14, Blok Utama Menara Takaful Malaysia
No. 4, Jalan Sultan Sulaiman
50000 Kuala Lumpur
Tel : 03-2272 2811


Sumber:
www.piam.org.my

More from LANGKAH PRIHATIN

Apakah kepentingan dalam merahsiakan butiran peribadi anda? Kecurian identiti berlaku apabila maklumat peribadi anda dicuri dan digunakan oleh penjenayah siber atau penipu untuk mendapatkan akses ke pelbagai bidang kehidupan digital anda. Memandangkan kelaziman kecurian identiti dan ancaman dalam talian yang lain, terdapat beberapa langkah berjaga-jaga yang boleh anda lakukan untuk melindungi diri anda.

Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik buat anak-anak, khususnya apabila berkaitan soal masa depan bagi menjamin pendidikan mereka. Oleh itu, ramai ibu bapa yang sudah mula menabung sejak anak mereka kecil lagi. Skim yang diperkenalkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan banyak ganjaran kepada mereka yang menyimpan wang untuk pendidikan akan datang.