Perkara Penting Yang Perlu Diketahui Apabila Membeli Barangan Ansuran Atau Kredit
Tahukah anda, dalam beberapa situasi, membuat pembayaran menggunakan kad kredit lebih baik berbanding menggunakan tunai? Untuk tujuan keselamatan, keselesaan, dan juga pelbagai faedah lain, anda perlu mengetahui mengapa lebih ramai gemar menggunakan kad kredit berbanding tunai.
Terdapat banyak penyedia perkhidmatan yang menyediakan perkhidmatan bayaran ansuran atau jualan kredit kepada para pengguna. Secara umumnya, ramai pengguna memilih medium pembelian ini memandangkan mereka boleh membayar dengan jumlah yang lebih rendah untuk sesuatu tempoh yang tertentu mengikut bajet mereka. Harga sesuatu barangan mungkin akan menjadi lebih tinggi sekiranya pengguna memilih untuk membuat pembayaran penuh.
Akta Penjualan Kredit telah dikuatkuasakan di bawah Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit 2012 iaitu pada 1 Oktober 2012). Peraturan ini telah diperkenalkan bagi melindungi para pengguna yang membuat pembelian secara kredit atau ansuran. Peraturan ini telah dipinda pada tahun 2017 di bawah Akta Perlindungan Pengguna Pindaan (2017).
Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak melibatkan pembelian barangan yang dibuat secara bayaran penuh dengan menggunakan kad kredit kerana transaksi tersebut dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989. Jualan berbentuk kredit ini juga berbeza dengan kaedah sewa beli yang disediakan oleh pihak institusi kewangan kepada pengguna.
Namun demikian, sesetengah pengguna tidak mengambil serius mengenai pembayaran ansuran yang sepatutnya dilakukan. Pengguna seharusnya membuat bayaran mengikut masa dan amaun yang dipersetujui mengikut perjanjian yang telah ditandatangani. Apabila pengguna gagal membuat bayaran pada masa yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan bayaran penalti lewat bayar dan seterusnya akan menjejaskan mod dan tempoh bayaran bagi barangan yang dibeli.
FOMCA turut menerima aduan daripada pengguna berkenaan pihak penyedia perkhidmatan menagih hutang yang kononnya belum dijelaskan sepenuhnya selepas tamat tempoh perjanjian. Oleh itu, para pengguna harus mendapatkan surat pelepasan selepas membuat bayaran penuh atau jumlah yang sepatutnya mengikut perjanjian yang ditandatangani. Surat pelepasan dan segala resit adalah sangat penting dan harus disimpan di tempat yang selamat. Sekiranya timbul sebarang isu atau masalah mengenai hutang, surat pelepasan dan resit tersebut boleh dijadikan bukti bahawa hutang kredit atau ansuran bulanan sudah dijelaskan.
Para pengguna juga harus ingat, sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini dan barang-barang yang dibeli telah musnah, pengguna masih perlu membayar ansuran sehingga tamat tempoh kontrak perjanjian. Pengecualian diberikan sekiranya barang tersebut dilindungi di bawah pelan insurans/takaful yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan. Tambahan pelan insurans/takaful ini akan melibatkan kos dan bayaran ansuran juga mungkin menjadi lebih tinggi. FOMCA menyarankan supaya para pengguna mengambil perlindungan insurans/takaful untuk setiap barangan yang dibeli sebagai langkah berjaga-jaga.
Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)