i-Biaya: Akses Pemilikan Kediaman Buat Golongan B40 Dan M40
Pelancaran Inisiatif Penbiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) diharapkan dapat membantu golongan B40 dan M40 dalam memiliki aset perumahan yang diingini
Bagi menjayakan pelaksanaan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah dalam kalangan golongan B40 dan M40, khususnya mereka yang mempunyai kekangan dari segi mendapatkan pembiayaan perumahan, YB Dato’ Sri Reezal Merican bin Naina Merican, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah bersama-sama melancarkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya).
Inisiatif di antara kedua-dua Kementerian tersebut adalah bagi menzahirkan komitmen Kerajaan untuk memastikan setiap Keluarga Malaysia daripada kumpulan B40 dan M40 akan lebih berkemampuan untuk mendapat akses kepada pembiayaan perumahan dengan lebih mudah. Menerusi inisiatif i-Biaya, isu-isu seperti tahap pendapatan isi rumah, bilangan isi rumah dan juga tahap kemampuan untuk memiliki rumah pada harga pasaran akan diberi perhatian sewajarnya semasa proses permohonan dijalankan.
Dalam senario biasa, kumpulan ini lazimnya sukar mendapatkan pembiayaan untuk memiliki kediaman. Antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini adalah rekod kredit yang lemah dan tahap risiko yang tinggi untuk menyokong keupayaan pembayaran balik pinjaman perumahan.
Justeru itu, i-Biaya telah menawarkan tiga skim pembiayaan iaitu:
- Skim Jaminan Kredit Perumahan yang ditawarkan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Berhad dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion;
- Skim Rumah Pertamaku (SRP) oleh Cagamas SRP Berhad (Cagamas); dan
- Skim PR1MA Rent to Own oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA RTO)
\\
Maklumat lanjut mengenai Program i-Biaya, layari laman web https://www.kpkt.gov.my/.
Sumber: Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan