Aduan Pengguna: Perkhidmatan Touch ‘n Go (TNG)
Penggunaan kad Touch 'n Go telah lama digunakan oleh rakyat Malaysia tetapi masih ramai yang tidak mengetahui bahawa tarikh luput untuk setiap kad boleh didapati di belakang kad tersebut
Kemudahan perkhidmatan Touch ‘n Go (TNG) mula diperkenalkan pada tahun 1997. Kini, pengguna telah beralih kepada penggunaan kad TNG selepas pembayaran tol secara tunai dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2017. Justeru itu, kesemua kenderaan yang menggunakan lebuh raya perlu menggunakan kad TNG, SmartTAG atau TNG RFID Tag. Setakat ini, sebanyak 84 juta kad TNG telah dikeluarkan.
Rata-rata pengguna kini menggunakan kad TNG sebagai pengganti tiket atau token untuk penggunaan pengangkutan awam seperti bas, LRT, MRT, KTM dan ERL. Malahan, terdapat lebih daripada 800 tempat letak kereta di seluruh negara yang telah memanfaatkan penggunaan kad tersebut sebagai peralihan kepada kaedah pembayaran secara tanpa tunai.
Di samping itu, pihak bank kebiasaannya akan menghantar notis sebagai peringatan untuk memperbaharuinya menjelang tarikh luput kad ATM. FOMCA berpendapat pihak TNG perlu mempraktikkan kaedah yang sama untuk mengelakkan sebarang masalah kepada pengguna kad TNG.
Kini, kemudahan kad TNG telah ditambah baik dengan NFC (Near Field Communication) untuk membolehkan para pengguna menambah nilai dengan menggunakan aplikasi TNG e-Wallet. Kemudahan ini tertakluk kepada sistem atau ciri-ciri tetapan yang terdapat dalam telefon bimbit pengguna.
Pihak NCCC turut menerima aduan daripada pengguna warga emas yang tidak begitu mahir dalam menggunakan perkhidmatan pembayaran secara digital. Pengguna warga emas lebih selesa menggunakan kad TNG versi lama dan memilih untuk tidak menggantikan kad tersebut dengan versi kad NFC kerana kurang yakin untuk menggunakannya. Beberapa aduan berkenaan kebimbangan dari segi ciri-ciri keselamatan turut disuarakan oleh pengguna warga emas. Ini ekoran daripada isu-isu yang diketengahkan di media, di mana ramai pengguna tertipu dengan scammer yang memperolehi data peribadi pengguna secara tidak sah.
Justeru itu, FOMCA ingin menasihatkan pengguna agar sentiasa memantau baki wang di dalam kad TNG dan perhatikan juga tarikh luput yang tertera pada kad tersebut. Sekiranya anda kehilangan kad TNG, laporkan dengan segera kepada pihak TNG untuk membatalkan kad tersebut sama seperti penggunaan kad ATM. FOMCA juga ingin menggalakkan pengguna untuk mendaftarkan kad tersebut atas nama sendiri supaya pengguna boleh menuntut semula lebihan wang dalam kad sekiranya telah hilang atau luput.
Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)