Keselamatan Internet Dan Scam

Terdapat pelbagai jenis penipuan (scam) dalam talian yang berleluasa di Malaysia dan antaranya merupakan Love Scam’, ‘Parcel Scam’ dan ‘Service Scam’




Pengguna di Malaysia kini selesa melakukan pelbagai aktiviti secara dalam talian seperti membeli-belah, bersosial dan juga perbankan. Perkembangan ini memberi peluang kepada golongan “Hantu Scammer” (orang yang melakukan penipuan) untuk memperdaya orang ramai dengan modus operandi baru penipuan secara dalam talian. Tidak kira peringkat umur, tahap pendidikan mahupun pengalaman hidup, ramai yang telah menjadi mangsa kepada “Hantu Scammer.”


Pihak Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sering mengadakan program kesedaran awam kepada orang ramai mengenai kepentingan kawalan kendiri dan keselamatan Internet dalam mengakses kandungan dalam talian. 


Terdapat pelbagai jenis penipuan (scam) dalam talian yang berleluasa. “Hantu Scammer” ini sangat licik dalam memperdayakan mangsa sehingga mengakibatkan kerugian ribuan ringgit. Memetik laporan Sinar Harian melalui artikel yang bertarikh 14 Mac 2022 yang bertajuk “Kes penipuan dalam talian catat kerugian melebihi RM1.6 bilion”, terdapat 51,631 laporan polis dibuat oleh mangsa-mangsa scam dari tahun 2019 hingga 2022.


Antara scam yang sering dilaporkan adalah Love Scam’, ‘Parcel Scam’ dan ‘Service Scam’.


1. ‘Love Scam’

‘Love Scam’ sering menyasarkan golongan lelaki yang mencari cinta di alam maya. Pesara juga menjadi sasaran. Walau bagaimanapun, golongan wanita juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa ‘Hantu Scammer’ yang mahir menggunakan daya tarikan mereka untuk menjerat mangsa.
Modus operandi ‘Love Scam’ ini akan menggunakan platform media sosial sebagai tempat mereka mencari atau memancing mangsa. Scammer membuat akaun palsu dengan menggunakan gambar profil individu yang menarik untuk berkenalan dengan mangsa di media sosial. Mereka akan menggunakan alasan hanya ingin mencari teman berborak, atau mengakui diri sebagai pelajar dari luar negara yang baru pertama kali datang ke Malaysia dan ingin mencari kenalan di negara ini. 


Mangsa diajak untuk berbual melalui aplikasi WhatsApp dan bertukar nombor dengan mangsa. Selepas itu, scammer akan mula menjalankan aktiviti licik dengan mengajak mangsa untuk melakukan panggilan video (video call). Dalam panggilan video tersebut, scammer ini akan mula menanggalkan pakaian mereka dan mengajak mangsa untuk turut serta melakukan pelbagai aksi bersama atas alasan sebagai ‘bukti cinta’ mereka. Tanpa disedari mangsa, panggilan video tersebut telah direkod dan rakamannya digunakan untuk mengugut mangsa bagi mendapatkan wang. Sekiranya mangsa tidak memberi wang seperti dipinta, mereka akan menularkan video tersebut kepada kenalan mangsa yang butirannya telah diambil daripada laman media sosial mangsa.


2. ‘Parcel Scam’

Scammer membuat panggilan telefon dengan menyatakan bahawa mangsa telah menerima bungkusan yang sedang ditahan oleh pihak kastam. Mangsa diminta untuk memindahkan sejumlah bayaran bagi melepaskan bungkusan tersebut. 


Yang terkini, terdapat juga scammer yang menyamar sebagai agen penjualan bagi syarikat perdagangan atas talian (e-dagang). Scammer menghantar pesanan secara rawak kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dengan menawarkan pekerjaan secara atas talian sebagai agen penjual platform e-dagang. Mangsa cuma perlu membeli barangan yang akan ditentukan oleh scammer dan memindahkan wang kepada akaun yang telah ditetapkan. Kemudiannya, pihak scammer akan memulangkan duit tersebut berserta dengan insentif di antara 10-20 peratus sebagai upah kepada mangsa. 


Bagi meyakinkan mangsa, pihak scammer akan mula dengan memberi tugasan kecil, iaitu membeli barangan yang murah supaya dapat terus melakukan “kerja” mereka. Kemudian, pihak scammer akan mula meminta mangsa untuk melakukan transaksi yang lebih besar (membeli barang yang lebih mahal). Selepas itu, scammer tersebut akan menyatakan bahawa mangsa telah terlambat untuk menghantar maklum balas mengenai pembelian mereka dan mengenakan ‘penalti’ penahanan komisen dan modal. 


Mangsa akan diarahkan sekali lagi untuk melakukan transaksi dengan membeli barangan lain yang bernilai lebih besar untuk mendapat semula komisen mereka yang sebelum ini. Perkara ini akan berulangan sehingga mangsa sendiri sedar bahawa mereka telah ditipu dan telah rugi ribuan ringgit.



3. ‘Service Scam’

Scammer menyamar sebagai agen yang menyediakan suatu perkhidmatan, contohnya perkhidmatan pembantu rumah. Mereka akan memberi pautan URL kepada mangsa dan meminta mangsa untuk menekan pautan tersebut dan memuat turun aplikasi ke dalam telefon pintar mangsa bagi membuat pembayaran. Tanpa disedari mangsa, aplikasi tersebut merupakan satu aplikasi yang berunsur “phishing” bagi mendapatkan maklumat perbankan/peribadi mangsa dan mampu untuk melakukan transaksi perbankan tanpa disedari oleh mangsa.


Berhati-hati sebelum membuat bayaran melalui Internet

Matlamat utama “Hantu Scammer” adalah untuk mendapatkan wang daripada mangsa. Oleh itu, sekiranya anda menerima sebarang tawaran yang memerlukan pemindahan wang kepada pihak ketiga atas apa alasan sekalipun, anda hendaklah berwaspada dan menyemak sama ada akaun bank tersebut adalah hak milik syarikat atau individu. Syarikat yang berdaftar tidak akan meminta anda memindahkan wang kepada akaun individu.


Untuk makluman pembaca, sekiranya berhadapan dengan sebarang penipuan di atas, mangsa boleh melaporkan perkara ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain itu, orang awam juga dinasihati untuk menggunakan laman https://semakmule.rmp.gov.my/ yang dikelolakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, PDRM. Orang awam boleh menyemak sekiranya nombor telefon atau akaun bank yang diberikan oleh scammer pernah dilaporkan kepada pihak polis.


Orang ramai juga boleh menghubungi pihak Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) di https://contentforum.my/make-a-complaint/ untuk mendapatkan nasihat dan panduan sekiranya mereka menjadi mangsa kepada scammer.


Sumber: www.contentforum.my