Sekiranya para pengguna berdepan dengan isu kontraktor seperti ini, pengguna perlu membuat laporan polis dan laporkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang terdapat di setiap negeri. Walau bagaimanapun, pengguna perlu ada perjanjian atau sekurang-kurangnya dokumen yang berkaitan dengan pengubahsuaian seperti perbincangan melalui e-mel atau mesej ringkas seperti di dalam WhatsApp sebagai bahan bukti untuk membuat tuntutan daripada pihak kontraktor.
Salinan aduan juga perlu dihantar kepada pihak CIDB untuk makluman mereka kerana semua kontraktor pengubahsuaian rumah perlu didaftarkan dengan pihak CIDB. Sekiranya kontraktor tidak mendaftarkan projek pembinaan atau pengubahsuaian dengan CIDB, maka pihak CIDB boleh mengambil tindakan terhadap kontraktor tersebut di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia. Pihak CIDB mempunyai bidang kuasa untuk menyenaraihitamkan syarikat yang terbabit dan mendenda kontraktor tersebut.
Secara kesimpulan, FOMCA dan NCCC menasihatkan para pengguna untuk membuat perjanjian dan menyenaraikan semua jenis pengubahsuaian secara terperinci dengan kontraktor yang berdaftar dengan SSM dan CIDB. Jadilah pengguna yang bijak dalam memilih kontraktor pengubahsuaian rumah yang bertauliah.
Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)