Kenali Unit Amanah: Bagaimanakah Saham Amanah Boleh Membantu Anda?
Walaupun sering dikaitkan sebagai pelaburan yang selamat, menyertai unit amanah dan mana-mana pelaburan harus sehaluan dengan sikap berhati-hati
Unit amanah adalah skim pelaburan terkumpul yang menyatukan simpanan orang ramai yang mempunyai matlamat pelaburan yang sama ke dalam sebuah tabung unit amanah yang khusus.
Anda perlu membuat pilihan pelaburan berdasarkan kepada profil diri sebagai pelabur, matlamat pelaburan, risiko yang berani diambil, pulangan yang diharapkan, modal yang dimiliki dan tempoh pelaburan untuk mencapai matlamat yang telah anda tetapkan.
Unit amanah sering dikaitkan dengan pelaburan yang 'selamat', namun dalam menyertai mana-mana pelaburan, pelabur masih perlu mengambil sikap berhati-hati dan memahami risiko yang perlu ditanggung.
Memahami apa itu unit amanah dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya akan membantu anda sebelum membuat keputusan pelaburan yang bijak.
Yuran dan caj
Caj secara langsung yang perlu dibayar adalah caj jualan/perkhidmatan permulaan semasa urus niaga belian dan jualan unit dilakukan, yuran jualan balik dan caj perkhidmatan bagi pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP.
Dalam menguruskan tabung unit amanah, terdapat beberapa yuran yang dikenakan seperti yuran pengurusan, yuran pemegang amanah, ganjaran juruaudit, dan lain-lain yuran profesional, kos/caj dan perbelanjaan percetakan laporan tahunan dan baucar pengagihan pendapatan serta lain-lain perbelanjaan yang diperlukan dalam menguruskan unit amanah.
*Anda dinasihatkan agar mempertimbangkan semua yuran dan caj yang dikenakan sebelum membuat pelaburan.
Badan Kawal Selia Unit Amanah di Malaysia
Tertakluk di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan garis panduan yang dipantau dari semasa ke semasa dan diuruskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, sebuah badan kawal selia untuk tabung unit amanah di Malaysia. Mengikut undang-undang, surat ikatan perlu didaftarkan pada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan pelantikan pengurus, pemegang amanah, pengurus pelaburan, lembaga pengarah, pegawai ketua eksekutif, ahli jawatankuasa pelaburan dan ahli jawatankuasa syariah perlu diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Pelaburan dalam unit amanah biasanya dikaitkan dengan pelaburan jangka panjang. Justeru ia amat sesuai untuk dipertimbangkan dalam mencapai matlamat jangka panjang anda seperti pendidikan untuk anak-anak atau kehidupan yang baik selepas bersara. Terdapat pelbagai jenis unit amanah di pasaran yang boleh disesuaikan dengan matlamat kewangan anda. Pelaburan secara konsisten dan berterusan membantu anda merealisasikan matlamat anda.
Oleh kerana ketika ini, pelaburan dalam unit amanah dilihat memberi pulangan lebih baik berbanding simpanan dan simpanan tetap, ia sewajarnya menjadi antara instrumen penting dalam perancangan kewangan anda. Namun begitu anda perlu memilih unit amanah yang sesuai dengan profil anda dan dikendalikan oleh syarikat pengurus tabung yang mempunyai latar belakang dan reputasi yang cemerlang dan diiktiraf dalam industri itu sendiri.
Sumber: www.asnb.com.my