Aduan Pengguna: Scam Dan Apa Yang Perlu Anda Ketahui

Oleh kerana aduan-aduan berkenaaan isu scam di Malaysia yang semakin berleluasa, pelbagai inisiatif telah diambil untuk meningkatkan kesedaran tentang isu ini dalam kalangan rakyat




Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) kerap menerima aduan mengenai isu scam (penipuan). Pelbagai jenis scam digunakan oleh scammer untuk memerangkap pengguna yang naif dan mudah terpedaya. 


Antara scam yang kerap menjerat pengguna adalah panggilan telefon daripada scammer yang menyamar sebagai pegawai penguatkuasa seperti Pegawai Kastam, Mahkamah, Pegawai Polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pegawai Bank termasuk Bank Negara Malaysia dan sebagainya. Selain itu, scam pelaburan, pinjaman wang dalam media sosial, akaun keldai atau menyewa akaun bank serta scammer yang menyamar sebagai penjual yang menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya.


NCCC sering menerima aduan daripada pengguna yang membeli barang melalui media sosial. Antara aduan yang diterima adalah barangan yang dipesan tidak sampai, barangan rosak atau barang yang diterima adalah tidak asli atau produk tiruan. Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, sebanyak 11,367 kes atau 61 peratus jenayah siber direkodkan dari Januari hingga Julai 2022. Trend jenayah siber dari 2016 hingga Julai 2022 turut menunjukkan peningkatan daripada 39 peratus kepada 61 peratus.


Scam boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa scam sekiranya tidak berhati-hati dengan modus operandi yang digunakan oleh scammer


Ramai penjual yang menjual melalui media sosial adalah tidak berdaftar dengan SSM


Selain itu, scam yang berlaku secara dalam talian atau melalui e-dagang kebanyakannya melibatkan mangsa yang membeli atau mendapatkan perkhidmatan daripada media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Hal ini terjadi kerana ramai penjual yang menjual melalui media sosial adalah tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sekiranya mereka berdaftar, maka semua maklumat tentang penjual atau penyedia perkhidmatan boleh diperolehi daripada SSM. Malahan sekiranya penjual yang berdaftar ini cuba menipu, para pengguna mempunyai medium aduan untuk mendapatkan pengadilan dengan mengajukan aduan mereka kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Para pengguna juga boleh membawa isu ini ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia. 


Di samping itu juga, terdapat jenis scam pelaburan yang memberi pulangan yang lumayan mula tular di dalam media sosial. Para pengguna harus faham, pihak bank hanya memberi pulangan yang rendah untuk simpanan semasa dan tetap. Adalah mustahil untuk institusi tersebut memberi pulangan yang lumayan dalam tempoh masa yang singkat ketika negara kita mengalami isu kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang tinggi. Sekiranya pengguna ingin melabur, adalah dinasihatkan untuk menyiasat dahulu sama ada syarikat pelaburan tersebut berdaftar dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia  dan juga Bank Negara Malaysia. Tiada durian runtuh dalam aspek pelaburan. Justeru itu, jangan leka dan mudah terpedaya dengan pancingan para pelabur di dalam media sosial.


Selanjutnya, terdapat beberapa kes di mana pengguna yang terdesak untuk meminjam wang melalui iklan dalam media sosial kerana mereka tidak mempunyai harta untuk dicagarkan. Mereka tertarik untuk mendapatkan perkhidmatan peminjam wang secara dalam talian yang kononnya syarikat pinjaman wang tersebut berlesen.


Para pengguna diingatkan untuk memeriksa terlebih dahulu sama ada syarikat pinjaman wang tersebut berdaftar dengan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


NCCC turut menerima sebanyak 306 aduan di mana mangsa telah meminjam wang daripada peminjam wang secara dalam talian. Syarikat tersebut meminta mangsa untuk menyerahkan buku akaun bank dan kad ATM. 


Kita tidak pasti sama ada kita berurusan dengan pihak peniaga sebenar atau scammer semasa berurusan secara dalam talian. 




Justeru itu, NCCC ingin menasihatkan para pengguna supaya berhati-hati setiap kali berurusan dengan individu, syarikat, mahupun mana-mana pihak yang tidak dikenali lebih-lebih lagi urusan secara dalam talian. 


Kita sebagai pengguna hendaklah menyiasat terlebih dahulu sama ada akaun yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan telah disenarai hitamkan oleh pihak polis melalui laman sesawang mereka iaitu https://semakmule.rmp.gov.my


Sekiranya anda mendapati anda telah ditipu oleh scammer, buat laporan polis dengan segera. Ingat jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, maklumat perbankan anda kepada sesiapa yang menghubungi anda melalui telefon. “Perlindungan terbaik adalah perlindungan diri sendiri.”




Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

More from TAHUKAH ANDA?

Walaupun sering dikaitkan sebagai pelaburan yang selamat, menyertai unit amanah dan mana-mana pelaburan harus sehaluan dengan sikap berhati-hati