Tahukah anda, apabila kita dapat meningkatkan pengetahuan, kita mampu untuk bertindak balas menggunakan tenaga dengan lebih cekap, menyumbang ke arah kemampanan tenaga dalam menjaga alam sekitar dengan lebih baik.
Pemakluman keadaan cuaca panas dan kering yang tidak menentu di negara ini membimbangkan pengguna terutamanya pelayar media sosial.
Justeru, isi rumah di seluruh negara pasti akan mengalami peningkatan bil elektrik bagi menampung penggunaan peralatan elektrik yang menggunakan sistem penyejuk, sistem pemanas dan alat bermotor seperti penyaman udara, penyejuk beku, peti sejuk, mesin pengering, mesin basuh, dan pam air.
Namun, orang ramai juga berpendapat peningkatanbil yang tinggi pada masa ini disebabkan oleh perubahan tarif yang dimaklumkan pihak kerajaan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.
Tetapi, pelaksanaan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung menerusi mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang diumumkan kerajaan menyatakan, pelanggan kediaman Tarif A dengan penggunaan tenaga 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah akan terus menikmati rebat ICPT sebanyak 2 sen/kWj.
Sementara itu, kategori tarif yang sama dengan penggunaan lebih daripada 1,500kWj dikenakan kadar surcaj sebanyak 10 sen/kWj yang memberi kesan kepada satu peratus daripada pelanggan kediaman.
Tarif kekal sama
Peningkatan bil elektrik yang dialami oleh segelintir pengguna tiada kaitan dengan semakan terbaharu tarif elektrik.
Semakan tarif asas elektrik dilakukan oleh Suruhanjaya Tenaga setiap tiga tahun dan tarif asas elektrik semasa masih kekal sepanjang Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) dari 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024.
Mekanisma Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) digunakan untuk menetapkan caj tarif elektrik di Semenanjung Malaysia. Di bawah IBR, tarif elektrik terbahagi kepada dua komponen iaitu Tarif Asas dan ICPT.
Tiada perubahan dilakukan sejak tahun 2014 untuk tarif asas, manakala ICPT adalah mekanisme yang diluluskan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga sejak 1 Januari 2014.
Mekanisme ini membolehkan harga bahan api disemak pada setiap enam bulan (Januari hingga Jun dan Julai hingga Disember) dan sebarang perubahan sama ada kenaikan atau penurunan harga bahan api akan diselaraskan menerusi rebat atau surcaj di dalam bil elektrik pengguna.
Jika harga bahan api turun di bawah paras yang diperuntukkan, rebat ICPT akan diberikan kepada pengguna. Jika sebaliknya, surcaj ICPT akan dikenakan kepada pengguna.
Untuk mengira jumlah bil berdasarkan kWj yang telah digunakan, sila layari https://myelectricitybill.my/.