SEDA Malaysia Pacu Agenda Kecekapan Tenaga Melalui SAVE 3.0

Salah satu inisiatif oleh kerajaan dalam meningkatkan kesedaran tentang pembelian kelengkapan cekap tenaga adalah melalui program Sustainability Achieved via Energy Effiency (SAVE). Artikel ini adalah untuk anda dapatkan maklumat lanjut mengenai program SAVE 3.0.


Peralatan cekap tenaga adalah penting untuk membantu anda menjimatkan wang dan tenaga, melindungi alam sekitar serta meningkatkan gaya hidup masyarakat awam terutamanya pemilik rumah.

Perubahan corak penggunaan tenaga ke arah alternatif yang lebih lestari memberi impak dalam menurunkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang dibebaskan ke atmosfera yang menyebabkan suhu bumi meningkat. Jumlah pelepasan gas rumah hijau akibat daripada aktiviti manusia disebut sebagai jejak karbon (carbon footprint) dan secara teknikal, jejak karbon adalah sumbangan setiap individu kepada pelepasan gas rumah hijau. Ini bermakna setiap daripada anda bertanggungjawab secara langsung terhadap kesan perubahan iklim dan impak kepada alam sekitar.

Kecekapan tenaga merupakan cara terbaik untuk mengurangkan jejak karbon anda. Melaksanakan langkah-langkah kecekapan tenaga di rumah anda sendiri boleh mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara. Ini kerana peralatan cekap tenaga menggunakan tenaga dengan lebih rendah berbanding peralatan biasa.

Program Sustainability Achieved via Energy Effiency (SAVE) telah diperkenalkan oleh Kerajaan bagi menggalakkan pembelian peralatan cekap tenaga khususnya yang berlabel empat (4) dan lima (5) bintang oleh Suruhanjaya Tenaga. Ia juga bertujuan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai agar membeli kelengkapan cekap tenaga yang akan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, terutamanya pengguna domestik.

Program SAVE pada asalnya adalah merupakan inisiatif Kerajaan dan ianya sebahagian daripada strategi Entry Point Project (EPP) 9 di bawah keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) untuk meningkatkan kecekapan tenaga di negara ini. Program ini dilancarkan pada 7 Julai 2011 dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia adalah agensi pelaksana bagi SAVE.

Program ini menawarkan: 
  • Rebat untuk isi rumah domestik yang membeli peti sejuk dan penyaman udara dengan label cekap tenaga 5 Bintang daripada Suruhanjaya Tenaga (ST); dan 
  • Rebat untuk pemilik bangunan yang telah melaksanakan penukaran pengokol (chiller) tidak cekap sedia ada kepada cekap (terhad kepada jenis penyejuk elektrik sahaja). 
Program SAVE 3.0 yang dilancarkan pada Januari 2022 - Disember 2022 telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dan merupakan kesinambungan daripada SAVE 2.0 yang dijalankan pada Januari 2021.

Program SAVE 3.0 menawarkan dua kategori berbeza bagi pembelian peralatan elektrik berlabel 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga.

Melalui SAVE 3.0, satu lagi kategori peralatan elektrik diperkenalkan dengan tambahan beberapa barangan elektrik terpilih berlabel 4 atau 5 bintang. 
  • Peralatan elektrik kategori 1 merupakan penyaman udara dan peti sejuk; dan 
  • Peralatan elektrik kategori 2 pula terdiri daripada televisyen, mesin basuh, ketuhar gelombang mikro, dan periuk nasi.
Kejayaan Program SAVE 3.0 ini adalah hasil usaha pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia serta agensi-agensi berkaitan yang telah bersama-sama mempromosikan program ini kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pelbagai platform media.

Usaha pelaksanaan SAVE 3.0 ini oleh SEDA Malaysia bukan sahaja menunjukkan sumbangan besar kepada alam sekitar, bahkan ianya selari dengan hala tuju kerajaan ke arah mencapai sasaran negara sifar karbon menjelang 2050.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, Dato’ Hamzah Hussin, “Sehingga Disember 2022, program SAVE 3.0 telah merekodkan sejumlah lebih RM35 juta e-rebat yang melibatkan pembelian 180,000 unit peralatan elektrik daripada kategori yang ditawarkan. Sambutan yang menggalakkan daripada rakyat bagi program ini menunjukan kesedaran orang awam terhadap faedah peralatan cekap tenaga.”

Beliau juga menjelaskan bahawa pencapaian program SAVE 3.0 adalah memberangsangkan berbanding dengan program SAVE 2.0 yang mencatatkan jumlah penebusan sebanyak RM 26 juta untuk 130,000 unit peralatan elektrik terpilih.

Akses yang mudah untuk menebus e-rebat dan pilihan yang pelbagai untuk mendapatkan peralatan elektrik cekap tenaga turut menyumbang kepada kejayaan program ini. Setiap isi rumah boleh memilih untuk menebus e-rebat secara dalam talian melalui platform e-dagang yang telah ditetapkan iaitu Shopee, Lazada, PG Mall serta YouBeli atau boleh menebus secara fizikal di lebih 1,400 kedai peralatan elektrik seluruh Malaysia yang berdaftar dengan SEDA Malaysia.


Kesedaran tentang kepentingan memelihara dan melindungi alam sekitar merupakan asas kepada perubahan amalan hidup masyarakat ke arah mencapai masa hadapan yang lebih hijau dan bersih untuk generasi akan datang!



Sumber: Strategic Communications Division, Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia