Pastikan Peralatan Elektrik Berlabel SIRIM-ST Baru Beli!

Ramai yang tidak menyedari bahawa penggunaan kelengkapan elektrik yang tiada kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) atau berlabel SIRIM-ST adalah berisiko tinggi untuk digunakan. Justeru itu, apa yang perlu kita ketahui sebagai seorang pengguna yang bijak.


Pengecas telefon bimbit, soket sambungan, kabel pendawaian dan palam kuasa adalah antara produk yang terdapat di pasaran terutama di kedai penjualan alat-alat telekomunikasi.

Adakalanya, produk seperti ini yang tidak mempunyai label SIRIM-ST menjadi pilihan pengguna kerana harga yang ditawarkan adalah jauh lebih murah berbanding dengan produk yang mempunyai label SIRIM-ST.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa penggunaan kelengkapan elektrik yang tiada kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) atau berlabel SIRIM-ST adalah berisiko tinggi untuk digunakan.

Justeru itu, sebagai pengguna yang bijak, kita hendaklah memastikan hanya kelengkapan elektrik yang mempunyai label SIRIM-ST atau tanda pensijilan SIRIM sahaja digunakan.
Menurut Pengarah Jabatan Kawal Selia Keselamatan ST, Ir Md Zakuan Ibrahim, dengan adanya label SIRIM-ST, ia menunjukkan kelengkapan elektrik yang dibeli atau digunakan sudah diluluskan dan para pengguna boleh menggunakannya tanpa ragu-ragu.

ST seringkali menekankan kepentingan menggunakan kelengkapan elektrik yang diluluskan dan mempunyai label SIRIM-ST. Ini kerana ianya sudah diuji dan diperiksa dari segi keselamatan mengikut standard keselamatan yang ditetapkan.

Oleh itu, ianya lebih selamat untuk digunakan berbanding dengan kelengkapan elektrik yang tidak diluluskan atau tidak mempunyai label SIRIM-ST.

Dengan ini juga, kes-kes kemalangan dan kebakaran yang berpunca daripada kelengkapan elektrik yang boleh menyebabkan kecederaan dan mengundang maut dapat dielakkan.

Garis panduan ST mengenai kelengkapan elektrik sudah menetapkan 34 kategori peralatan elektrik dan elektronik yang mesti diuji serta diperakui mengikut piawaian yang ditetapkan termasuk peti ais, periuk nasi, cerek elektrik,  penggoreng kering (air fryer) dan ketuhar gelombang mikro.

Oleh demikian, ST sekali lagi menasihati orang ramai supaya hanya membeli dan menggunakan kelengkapan elektrik yang diluluskan oleh ST dan mempunyai label keselamatan SIRIM-ST atau mempunyai tanda pensijilan SIRIM. Selain itu, masyarakat juga dinasihatkan untuk berhati-hati dengan penyalahgunaan atau pemalsuan label SIRIM-ST oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

*Sumber grafik: Harian Metro

FOMCA turut ingin menasihatkan para pengguna untuk menyemak terlebih dahulu produk yang dibeli secara dalam talian atau di kedai sama ada peralatan tersebut sudah mendapat perakuan daripada SIRIM dengan memasukkan maklumat produk ke dalam aplikasi mudah alih SIRIM QAS International.


Sumber: FOMCA, Bernama (Mei 14, 2020)