Pelabelan Kecekapan Tenaga: Sistem Kadaran Bintang Dan Label

Label kadaran tenaga atau energy rating menunjukkan anggaran penggunaan tenaga bagi setiap peralatan elektrik berdasarkan sistem kadaran bintang.


Pelabelan Kecekapan Tenaga merupakan alat penting untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai penggunaan tenaga bagi peralatan elektrik di rumah. Label kecekapan tenaga yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga kepada pengilang peralatan elektrik adalah untuk mempromosikan peralatan elektrik yang cekap tenaga dalam pasaran. Pengilang perlu mematuhi piawaian dan syarat ujian prestasi tenaga yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk kadaran bintang ini sebelum kelulusan diberikan untuk setiap model yang dikeluarkan.

Label kecekapan tenaga ini memberi maklumat kepada pengguna tentang penggunaan tenaga bagi setiap peralatan elektrik. Label kadaran tenaga atau energy rating menunjukkan anggaran penggunaan tenaga bagi setiap peralatan elektrik berdasarkan sistem kadaran bintang. Kadaran 1 hingga 5 yang ditunjukkan dalam label bermakna 1-bintang adalah penggunaan tenaga yang paling kurang cekap dan 5-bintang adalah penggunaan tenaga yang paling cekap.


Label kecekapan tenaga mengandungi anggaran jumlah penggunaan tenaga tahunan dalam kilowatt-jam bagi setiap peralatan elektrik yang berdasarkan keputusan ujian makmal yang diiktiraf. Maklumat yang disediakan akan membantu pengguna untuk memilih model yang paling cekap tenaga semasa membuat pembelian. Penggunaan peralatan elektrik 5-bintang akan mengurangkan penggunaan elektrik dan bil elektrik di rumah. Ini secara langsung akan menghasilkan pendapatan isi rumah boleh guna atau disposable household income yang lebih tinggi terutamanya dalam jangka masa yang panjang yang akan meningkatkan kualiti hidup.

Peralatan elektrik yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga bagi pelabelan kecekapan tenaga adalah seperti peti sejuk, penyaman udara, televisyen dan kipas yang digunakan di rumah.


Sebagai pengguna yang bijak, pastikan anda memilih peralatan elektrik yang menawarkan kadaran bintang yang lebih tinggi, walaupun harganya lebih mahal. Namun, untuk jangka masa yang panjang, peralatan elektrik yang mempunyai kadaran yang lebih tinggi adalah lebih menjimatkan.


Sumber: AnsarComp (M) Sdn Bhd and Water dan Energy Association Malaysia (WECAM)