Subsidi Dan Pengguna: Subsidi Bersasar Melalui Sistem PADU
PADU berperanan untuk memastikan anda menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada pelbagai inisiatif kerajaan yang berfokuskan rakyat
Setiap negara biasanya mempunyai program perlindungan sosial untuk meringankan beban rakyat, terutama buat golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Antara program perlindungan sosial tersebut ialah pemberian tunai, penetapan harga siling barangan keperluan serta subsidi minyak, elektrik, kesihatan dan pendidikan.
Di Malaysia, subsidi sudah menjadi kelaziman sejak sekian lama dan rakyat berharap ia menjadi amalan yang berterusan. Hal ini berlaku kerana rakyat sudah terlalu biasa dengan perkhidmatan dan barangan bersubsidi. Mereka merasakan ia sudah menjadi hak mereka yang tidak boleh dipisahkan.
Namun, kebanyakan subsidi pada masa kini ialah subsidi berbentuk “blanket”. Ini bermaksud semua orang layak menerima manfaatnya – daripada yang berpendapatan rendah sehingga berpendapatan tinggi. Subsidi sebegini tidak mencerminkan keadaan sebenar pasaran. Hal ini akan mengakibatkan penggunaan yang berlebihan atau pembaziran dan juga masalah seperti barang kawalan yang disorok, diseludup, diseleweng, disalahgunakan dan juga isu ketirisan.
Tambahan pula, hutang Persekutuan pada akhir tahun 2022 telah mencapai RM1.08 trilion. Ini merupakan peningkatan sebanyak RM99.777 bilion atau 10.2% berbanding dengan RM979.814 bilion pada tahun 2021. Kementerian Ekonomi memperkenalkan PADU yang dilihat mampu mengurangkan ketirisan dan perbelanjaan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan melebihi RM80 billion.
Bagi menangani masalah ini, kerajaan berusaha untuk membetulkan kedudukan kewangan negara dengan mencapai keseimbangan antara hasil dan perbelanjaan. Selain itu, amalan sistem subsidi yang menjadi amalan negara sejak puluhan tahun juga akan ditukar.
PADU merupakan pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif dan ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat. Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas digalakkan mendaftar dan mengemaskinikan maklumat dalam PADU. Salah satu kepentingan pendaftaran PADU adalah untuk memastikan rakyat yang benar-benar layak akan mendapat manfaat, bantuan, dan perlindungan sosial. Selain itu, golongan yang kurang berkemampuan akan dipastikan tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar.
Dengan menggabungkan maklumat daripada pelbagai agensi kerajaan, risiko pertindihan data atau maklumat yang tidak konsisten dapat dikurangkan. Sebagai contoh, maklumat mengenai pendapatan akan menjadi sejajar dengan maklumat percukaian.
Hal ini memudahkan proses pengesahan dan membolehkan kerajaan memberikan bantuan kewangan seperti Skim Bantuan Sara Hidup (STR), MySara, dan Bantuan Lesen tanpa perlu pengguna mengisi maklumat berulang kali.
SEMAK DAN KEMAS KINI PROFIL SEBELUM 31 MAC 2024
Untuk maklumat lanjut mengenai PADU, sila layari laman sesawang ini: https://www.padu.gov.my
Sumber: www.fomca.org.my