Kisah Benar Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK): Pasangan Usahawan Terjerat Dalam Perangkap Hutang

Ketahui isu hutang dan masalah berkaitan pengurusan kewangan dengan lebih lanjut melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)



En. Bahar dan isterinya Pn. Mizah mempunyai sumber kewangan yang cukup selesa. Mereka berjaya dalam perniagaan mereka sebagai pembekal produk yang sangat terkenal. Perniagaan mereka cukup berjaya sehingga menjadi salah satu daripada pembekal terbesar di Pantai Timur. Dengan perniagaan yang berkembang maju, mereka berpeluang untuk mengembangkan pelaburan. Mereka membeli beberapa hartanah di Pantai Timur untuk meningkatkan lagi pelaburan dan aset mereka.

Memandangkan kedudukan kewangan mereka semakin mantap, pasangan tersebut membuat keputusan untuk membeli empat buah kereta baharu, dua daripadanya merupakan kereta mewah. Kesemua ini mereka beli untuk menarik perhatian downlinedan pelanggan mereka. Walaupun sangat mahal untuk diselenggara, En. Bahar dan Pn. Mizah berkeras untuk memiliki juga kereta-kereta tersebut. 

Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari. Pada satu ketika, perniagaan pasangan ini mulai jatuh sehingga mereka terpaksa menggunakan wang simpanan untuk menampung perbelanjaan kereta-kereta tersebut. Akhirnya, tiada simpanan yang tinggal untuk perniagaan mereka. En. Bahar dan Pn. Mizah cuba membuat pinjaman bank untuk menyelamatkan perniagaan mereka tetapi gagal. Kekurangan pendapatan menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan pembelian stok produk mereka. Lama-kelamaan mereka kehilangan pelanggan kerana tidak dapat memenuhi permintaan.

 


Mereka sangat terdesak untuk menyelamatkan perniagaan mereka demi menjamin kedudukan kewangan mereka di masa hadapan dengan jalan berhutang sehingga mereka terpaksa menanggung hutang melebihi RM1 juta. En. Bahar dan Pn. Mizah sudah tidak sanggup membelanjakan kesemua pendapatan mereka untuk membayar faedah kad kredit yang tinggi. Dengan kedudukan kewangan yang makin merosot, mereka akhirnya terpanggil untuk mendapatkan pertolongan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

En. Bahar dan Pn. Mizah sangat berterima kasih atas nasihat kewangan yang diberikan oleh AKPK. Mereka sekarang boleh menumpukan perhatian pada bayaran balik pinjaman dan hutang mengikut aliran tunai semasa di samping membangunkan kembali perniagaan mereka.

Sumber: Arkib AKPK