Rancang Perbelanjaan Anda. Elak Pokai Selepas Hari Raya Aidilfitri!

Berbelanja secara bijak sempena sesi baharu persekolahan, bulan Ramadan dan bulan perayaan


Seperti yang kita tahu, perbelanjaan untuk sesi baharu persekolahan, bulan Ramadan dan bulan perayaan adalah antara yang memerlukan perbelanjaan besar. Kebetulan pada tahun ini pula, ketiga-tiganya berlaku dalam tempoh waktu yang agak dekat.

Rancang perbelanjaan
Mungkin selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, ramai yang tidak berani untuk melihat baki wang simpanan dalam akaun bank mereka. Kenyataan yang perlu dihadapi mungkin tidak akan menenangkan hati – sama ada baki wang mencukupi atau tidak mampu bertahan sehingga ke akhir bulan. Lebih menakutkan lagi apabila tiada langsung baki atau simpanan dalam akaun bank.

Itulah kesan perbelanjaan yang tiada perancangan bagi sesi baharu persekolahan, bulan Ramadan, dan bulan perayaan yang berlaku dalam tempoh waktu yang agak dekat. Pengguna lazimnya tidak begitu memikirkan soal perancangan kewangan bagi musim sebegini. Natijahnya, perbelanjaan menjadi tidak terkawal atau berlebihan.

Ibu bapa terutamanya, pasti runsing dan panik memikirkan perbelanjaan untuk keperluan. Kegagalan membuat perancangan lebih awal adalah antara punca berlakunya situasi panik dalam kalangan ibu bapa apabila terpaksa membuat persediaan secara serentak bagi perbelanjaan sekolah, sambutan bulan Ramadan dan bulan perayaan tahun ini.

Menurut pakar kewangan pengguna Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), iaitu Prof. Dr. Mohamad Fazli, seharusnya perancangan dan persiapan dapat dilakukan lebih awal sebagai persediaan. Amalan ukur baju di badan sendiri dan utamakan perkara yang lebih penting juga perlu dijadikan panduan dalam menguruskan perbelanjaan seharian.