Penderaan Kewangan Terhadap Warga Emas

Dapatan kajian AKPK dan UM ini mendedahkan bahawa lebih separuh (59%) daripada mangsa penderaan warga emas ini mengalami penderaan kewangan manakala majoriti (81%) mengalami sama ada penderaan kewangan atau psikologi



Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan Penderaan dan Pengabaian Warga Emas sebagai "Layanan kurang wajar sama ada dilakukan sekali atau berulang kali yang melibatkan hubungan yang berasaskan kepercayaan dan mendatangkan bahaya atau kesusahan kepada orang yang lebih tua”.

Menurut kajian bersama yang dilakukan oleh pasukan penyelidik daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Universiti Malaya (UM), penderaan terhadap warga emas ini boleh berlaku dalam bentuk kewangan, psikologi, fizikal, seksual, dan pengabaian. Penderaan kewangan adalah yang paling lazim diikuti dengan penderaan psikologi.

Dapatan kajian AKPK dan UM ini mendedahkan bahawa lebih separuh (59%) daripada mangsa penderaan warga emas ini mengalami penderaan kewangan manakala majoriti (81%) mengalami sama ada penderaan kewangan atau psikologi.

‘Wabak Senyap’

Apa yang lebih membimbangkan, penderaan kewangan ialah sejenis ‘wabak senyap’. Ini bermaksud, penderaan kewangan jarang diakui, malah diabaikan oleh ramai pihak. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Malaysia 2018 melaporkan bahawa satu daripada tiga mangsa di Malaysia tidak berkongsi kisah mereka dengan sesiapa pun.

Oleh kerana itu, mengenali profil mangsa adalah sangat penting. Berdasarkan kajian, warga emas daripada kumpulan pendapatan isi rumah bulanan terendah (bawah RM500 sebulan) ialah kumpulan yang paling terdedah. Mereka yang tinggal bersendirian (17.8%) pula lebih berkemungkinan mengalami penderaan kewangan berbanding dengan mereka yang tinggal bersama orang lain (suami, isteri atau anak-anak).


Selain itu, kajian juga mendapati risiko penderaan kewangan meningkat dengan usia mangsa. Kumpulan umur yang lebih muda (60 hingga 69 tahun) didapati kurang berisiko berbanding dengan kumpulan umur yang lebih tua (70 tahun atau lebih). Di samping itu, warga emas yang mempunyai kesihatan yang lemah juga berisiko lebih tinggi untuk menjadi mangsa.

Penderaan warga emas memberi kesan kepada jangka hayat mereka. Kajian mendapati peratusan kematian adalah lebih tinggi, yakni 23% daripada responden meninggal dunia, selepas 6 tahun hidup dalam penderaan.


Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan penderaan warga emas diramalkan meningkat di Malaysia. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, menjelang tahun 2030, Malaysia akan menjadi negara menua. 15% daripada penduduknya bakal berumur 60 tahun ke atas. Menjelang 2040 pula, akan terdapat tiga warga emas bagi setiap 20 orang penduduk.


Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)