Pengurusan Perbelanjaan Kesihatan: Memahami Kemudahan Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Untuk Keperluan Kesihatan

Akaun KWSP anda boleh menjadi sumber sokongan kewangan yang penting di kala pengurusan perbelanjaan perubatan tampak menjadi semakin mencabar



Pengurusan kewangan seseorang tidak terbatas pada perancangan dana persaraan sahaja, tetapi juga memerlukan penyediaan dana kecemasan, terutamanya berkaitan dengan kos penjagaan dan rawatan kesihatan.

Saban tahun, kos perubatan di Malaysia semakin meningkat. Oleh itu, kos kesihatan akan menjadi kos perbelanjaan paling utama yang perlu dipertimbangkan dalam pengurusan kewangan selepas persaraan.

Pada masa ini, rakyat Malaysia menikmati jangka hayat yang semakin panjang. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), peratusan penduduk Malaysia yang termasuk dalam kategori warga emas (berumur 65 tahun dan ke atas) Pengurusan Perbelanjaan Kesihatan: Memahami Kemudahan Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Untuk Keperluan Kesihatan telah meningkat kepada 7.3% pada tahun 2022 berbanding dengan 7% pada tahun 2021. Ini menunjukkan bahawa Malaysia sedang menuju kearah negara menua menjelang tahun 2030.

Dengan peningkatan purata jangka hayat individu, kesihatan diri juga mengalami kemerosotan. Oleh itu, individu yang semakin meningkat usia perlu mendapatkan rawatan kesihatan secara berkala.

Pada 13 Oktober 2023, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah membentangkan Belanjawan 2024 (Belanjawan Madani Kedua) yang memperkenalkan pelbagai inisiatif kesihatan bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Peruntukan sebanyak RM41.2 bilion untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan dalam membantu rakyat menangani kos kesihatan yang kian meningkat. Peruntukan ini juga dijangka dapat meningkatkan mutu kesihatan serta memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat.


Kemudahan Pengeluaran Perbelanjaan Kesihatan KWSP

Tahukah anda, KWSP menyediakan pilihan pengeluaran melalui Akaun 2 bagi membantu anda menguruskan kos kesihatan?


Pengeluaran Perbelanjaan Kesihatan KWSP tidak terhad kepada diri sendiri sahaja, malah boleh digunakan untuk membiayai kos rawatan bagi pasangan, ibu bapa (kandung, angkat, tiri, mentua), anak-anak (kandung, angkat, tiri) dan adik-beradik (kandung), sekiranya anda belum mencapai umur 55 tahun. Untuk maklumat berkaitan pengeluaran ini, anda boleh klik pautan di bawah:


i-Lindung

KWSP juga menyediakan Pelan Perlindungan Ahli (PPA) melalui platform i-Lindung yang direka khusus untuk memudahkan pembelian produk insurans/takaful yang diluluskan oleh KWSP bagi memenuhi keperluan anda dan ahli keluarga anda. Anda boleh memilih perlindungan hayat dan/atau perlindungan penyakit kritikal dengan harga yang berpatutan dengan pengeluaran simpanan daripada Akaun 2 untuk pembayaran tahunan bagi ahli di bawah 55 tahun, atau daripada Akaun Emas bagi ahli yang berusia 55 tahun ke atas. Anda boleh memohon dengan mudah melalui aplikasi KWSP i-Akaun!


Dengan peningkatan jangka hayat dan kos penjagaan kesihatan, pengurusan perbelanjaan perubatan tampak menjadi semakin mencabar. Dalam keadaan ini, akaun KWSP anda boleh menjadi sumber sokongan kewangan yang penting, bukan hanya untuk membayar bil perubatan anda sendiri, tetapi juga untuk insan yang anda kasihi. Oleh itu, anda perlu menggunakan Akaun KWSP (Akaun 2) secara berhemat untuk memastikan ketersediaan sumber kewangan pada saat-saat yang diperlukan.

Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)