Bagaimana ICPT Mempengaruhi Bil Elektrik Anda

Mekanisme ICPT merupakan kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam (6) bulan dan dilepaskan kepada pelanggan elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat. Lebih 90% daripada elektrik yang dijana di Malaysia menggunakan arang batu dan gas. Sebanyak 85% pengguna kediaman terus menikmati rebat 2 sen/kWj untuk penggunaan tenaga yang tidak melebihi 600 kWj sebulan.


Pada 2014, Suruhanjaya Tenaga (ST) memperkenalkan Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive Based Regulation, IBR) bagi mengawal selia serta meningkatkan kecekapan industri bekalan elektrik negara. Melalui IBR, asas tarif elektrik ditetapkan setiap tiga tahun. Ia mengambil kira kos merangkumi penjanaan, penghantaran dan pembahagian tenaga elektrik. IBR juga membolehkan kerajaan memantau kos pembekalan tenaga elektrik secara lebih berkesan.


Harga bahan api adalah kos terbesar dalam penjanaan tenaga elektrik dan merupakan faktor utama yang menentukan tarif elektrik. Pelepasan Kos Tidak Seimbang (Imbalance Cost Pass-Through, ICPT) adalah satu mekanisme di bawah IBR yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Caj ICPT adalah caj yang dikenakan untuk setiap kilowatt jam (kWj) tenaga elektrik yang digunakan. Ia merupakan komponen boleh ubah dalam bil elektrik berdasarkan penggunaan tenaga elektrik pengguna setiap bulan. ICPT adalah caj yang dilepaskan secara terus dan pengiraannya adalah mengikut penggunaan bulanan tenaga elektrik dalam unit kWj didarab dengan kadar ICPT (sen/kWj). Caj ini kemudiannya akan ditambah atau ditolak daripada jumlah bil semasa pengguna.

Mengikut kenyataan ST, kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan rebat 2 sen/kWj untuk pengguna Kediaman (Domestik - Tarif A) dengan penggunaan elektrik sebanyak 600 kWj dan ke bawah sebulan. Sebanyak 85% pengguna kediaman di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.


Selanjutnya, pengguna bukan domestik iaitu kategori tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) serta operator air dan pembetungan, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik, dan dikekalkan pada kadar 3.7 sen/kWj. Untuk pengguna bukan domestik lain pula, surcaj kekal pada kadar 17 sen/kWj. Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga & Transformasi Air (PETRA) telah bersetuju untuk mengurangkan kadar surcaj ICPT bagi kategori lampu jalan (tarif G & G1) di bawah seliaan PBT daripada 17 sen/kWj kepada 10 sen/kWj bagi tempoh 1 Mac 2024 hingga 30 Jun 2024.

Berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion subsidi kepada semua kategori pengguna terbabit bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan tersebut. Justeru, pengguna dinasihatkan untuk merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.

Bagi pengguna yang ingin menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang, ST menyarankan penggunaan kalkulator tarif elektrik yang boleh didapati di laman sesawang myelectricitybill.my.

Pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme ICPT itu adalah terpakai bagi semua pengguna di Semenanjung Malaysia kecuali pengguna di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.


Sumber: AnsarComp (M) Sdn. Bhd, Water Energy Association Malaysia (WECAM) dan www.tnb.com.my/faq/icpt-bm