Penggunaan Elektrik Dan Kestabilan Iklim: Apa Kaitannya?

Artikel ini menekankan keperluan untuk beralih kepada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) serta pentingnya kerjasama dalam usaha mengurangkan emisi gas rumah hijau untuk kelestarian ekonomi dan kesejahteraan sosial.


Penggunaan elektrik mempunyai peranan penting dalam hubungan di antara kestabilan iklim dan cuaca. Elektrik digunakan dalam pelbagai sektor, termasuk industri, pengangkutan, dan rumah. Hasil elektrik sering melibatkan pembakaran bahan bakar fosil yang menyumbang kepada gas rumah hijau (GHGs) seperti karbon dioksida (CO2), metana (CH4), dan nitrus oksida (N2O). Penggunaan elektrik berkait rapat secara langsung dengan peningkatan GHGs. Sumber tenaga seperti pembangkit elektrik yang menggunakan bahan bakar fosil melepaskan CO2 dan gas lain ke atmosfera yang menyumbang kepada pemanasan global. Selain itu, dalam proses penghasilan elektrik, terdapat juga kemungkinan kebocoran gas metana yang lebih berbahaya.


Selain itu, penggunaan elektrik melalui sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) dapat meninggalkan impak positif terhadap kestabilan iklim. Sebagai contoh, penggunaan TBB berasaskan solar dan angin dapat membantu mengurangkan kebergantungan pada bahan bakar fosil dan secara langsung akan mengurangkan emisi CO2. Penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi ini penting untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.

Seterusnya, terdapat juga kesan tidak langsung terhadap iklim dan cuaca akibat daripada penggunaan elektrik. Contohnya, penggunaan pengangkutan elektrik boleh mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil. Namun, pengeluaran dan pembuangan bateri elektrik juga boleh mempunyai kesan negatif terhadap alam sekitar jika tidak diurus dengan baik.

Dalam konteks Malaysia, kestabilan iklim dan cuaca adalah penting untuk memastikan kesinambungan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Peningkatan kesedaran tentang hubungan antara penggunaan elektrik dan kestabilan iklim telah mendorong tindakan seperti peningkatan penggunaan sumber TBB dan inisiatif efisiensi tenaga.

Walau bagaimanapun, kesan daripada langkah-langkah ini masih memerlukan kerjasama global dan usaha berterusan dalam mengurangkan emisi GHGs secara keseluruhan. Dengan memahami hubungan ini, masyarakat Malaysia dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam usaha untuk melindungi alam sekitar dan memastikan kestabilan iklim masa depan.


Sumber: Pensyarah kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ts. Dr. Nurul Nadrah