Penggunaan Tenaga: Bangunan Hijau ‘Diamond Building’ Vs Bangunan Pejabat Konvensional Di Malaysia
Alat penarafan Indeks Bangunan Hijau (Green Building Index - GBI) memberi peluang kepada pemaju dan pemilik bangunan untuk mereka bentuk dan membina bangunan hijau yang lestari.

Bangunan hijau ditakrifkan sebagai struktur yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sumber yang efisien sepanjang tempoh hayatnya (EPA, 2014). Konsep ini juga bertujuan untuk mewujudkan taraf hidup yang sederhana dan memelihara alam semula jadi daripada kemusnahan. Ia menjimatkan tenaga, air dan sumber semula jadi yang lain. Di Malaysia, agensi yang bertanggungjawab menilai bangunan hijau dan mengiktiraf alat yang sesuai digunakan ialah Indeks Tenaga Bangunan ((Building Energy Index - BEI). Penarafan hijau bagi bangunan adalah bertujuan untuk mempromosikan kelestarian dalam persekitaran yang dibina dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengamal binaan mengenai isu alam sekitar (Papargyropoulou, 2012). Alat penarafan GBI memberi peluang kepada pemaju dan pemilik bangunan untuk mereka bentuk dan membina bangunan hijau yang lestari. Ini dapat memberikan penjimatan tenaga, penjimatan air, persekitaran dalaman yang lebih sihat, penggunaan kitar semula dan kehijauan dan hubungan yang lebih baik dengan pengangkutan awam (GBI, 2016).
Terdapat dua jenis sumber tenaga di dunia ini iaitu sumber tenaga boleh baharu dan juga sumber tenaga tidak boleh baharu. Kedua-dua jenis tenaga ini digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik di seluruh negara. Sumber tenaga sangat penting dalam kehidupan harian kita kerana setiap pekerjaan yang dilakukan memerlukan sumber tenaga bagi memastikan setiap aktiviti yang dilakukan dapat berjalan dengan lancar. Indeks Tenaga Bangunan ((Building Energy Index - BEI) merupakan pengiraan jumlah tenaga tahunan yang digunakan bagi sesebuah bangunan dalam bentuk jam kilowatt (kWj). Ia dibahagikan dengan keluasan lantai dalam meter persegi (m2).



Langkah penjimatan tenaga bagi bangunan hijau dan bangunan konvensional adalah berbeza mengikut kelainan sistem yang digunapakai di dalam bangunan tersebut walaupun secara asasnya sama iaitu amalan penggunaan tenaga secara optimum. Berdasarkan kajian juga, faktor yang penting dalam penjimatan tenaga adalah pemilihan peralatan elektrik dan elektronik yang digunakan. Ia perlu sentiasa mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), dan sentiasa peka dengan penggunaan tenaga harian iaitu sentiasa memastikan suis ditutup jika tidak digunakan.
Sumber: Alif Hilmi Shahron & Seow Ta Wee, Penyelidik di Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)