Kepentingan Perundangan Lemon Law Dalam Melindungi Hak Pengguna di Malaysia

Istilah “lemon” digunakan untuk menggambarkan barang yang cacat atau rosak, iaitu produk yang tidak memenuhi standard kualiti, prestasi, atau keselamatan yang diharapkan



Asal usul Lemon Law merupakan naratif yang menarik. Menurut Kamus Etimologi dalam Talian, orang Amerika pada masa lalu menggunakan frasa “lemon” untuk merujuk kepada barangan yang berkualiti rendah. Pada masa kini, istilah “lemon” digunakan untuk menggambarkan barang yang cacat atau rosak, iaitu produk yang tidak memenuhi standard kualiti, prestasi, atau keselamatan yang diharapkan.

Dalam pasaran masa kini, pembelian barangan merupakan perkara penting dalam kehidupan seharian. Namun begitu, dengan kewujudan barang yang cacat, urus niaga menjadi lebih mencabar. Isu akan timbul dalam pelbagai industri termasuk peralatan elektronik, peralatan rumah, automobil, dan banyak lagi. Kesan daripada barangan cacat akan menyusahkan kehidupan pengguna kerana ia boleh mengakibatkan kerugian wang, masa dan juga tekanan emosi. Kewujudan barang yang cacat telah mewujudkan gerakan untuk perlindungan pengguna dan merangka kertas kerja undang-undang bagi menangani perkara ini. Pengguna berhak untuk mendapatkan produk yang bebas daripada kecacatan atau kerosakan dan mematuhi spesifikasi seperti yang diiklankan.

Apabila harapan ini tidak dipenuhi, ia akan menimbulkan persoalan tanggungjawab yang membawa kepada pertimbangan tuntutan waranti, penarikan balik produk, atau remedi undang-undang.


Umumnya, modus operandi pembekal/pengilang adalah dengan menggunakan undang-undang yang sedia ada untuk melindungi diri mereka sedangkan mereka sendiri yang gagal memberi jaminan untuk produk mereka. Sebagai contoh, undang-undang yang sedia ada di Malaysia telah menetapkan tempoh had (“limitation period”), iaitu pembekal/pengilang mesti menangani isu-isu yang melindungi jaminan tersebut tetapi tidak dinyatakan tempoh masa yang jelas. Ini menyebabkan pembekal/ pengilang akan melengahkan masa untuk membuat pembaikan produk sehingga tamat tempoh waranti bagi produk tersebut.

Pelaksanaan Lemon Law telah terbukti berjaya kerana penalti yang dikenakan ke atas pembekal/pengilang yang gagal mematuhi standard kualiti bagi sesuatu produk. Terdapat beberapa kes pembekal/pengilang yang dikehendaki mengembalikan wang pengguna atau menggantikan barangan atau kenderaan yang rosak selepas gagal membuat pembaikan dengan hanya satu percubaan.

Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Korea Selatan, China dan Filipina telah melaksanakan Lemon Law khusus bagi kenderaan. Undang-undang ini memerlukan kenderaan yang mengalami kecacatan dibaiki atau diganti dalam tempoh masa yang ditetapkan. Pengguna juga boleh meminta pengurangan harga atau mendapatkan tuntutan ganti rugi.


Di Malaysia, bilangan kes kenderaan baharu yang cacat atau rosak kurang daripada tempoh enam bulan selepas tempoh penyerahan amat membimbangkan. Dalam kebanyakan kes, pelbagai kecacatan yang ditemui pada kenderaan baharu yang meninggalkan pengguna dengan pilihan yang terhad seperti pengguna terpaksa pergi ke pusat servis/bengkel yang sah sehingga berulang kali bagi urusan pembaikan kenderaan.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) juga telah menerima aduan tentang kenderaan terpakai yang mula mengalami masalah mekanikal sejurus selepas pembelian. Terdapat juga aduan tentang kenderaan terpakai yang rupa-rupanya kereta half-cut (alat ganti yang diambil daripada kereta potong yang pernah terlibat dalam kemalangan teruk), atau tentang meter perbatuan kenderaan yang telah diusik untuk menunjukkan bacaan yang lebih rendah.


Oleh itu, cadangan FOMCA adalah munasabah agar kenderaan yang rosak perlu dibaiki dalam tempoh maksimum satu bulan (had tempoh masa perlu dinyatakan dengan jelas) dan tiga percubaan untuk pusat servis/ bengkel membuat pembaikan ke atas kecacatan atau kerosakan yang sama sebelum Lemon Law seperti di negara Singapura diguna pakai.

Namun begitu, pemilik kenderaan “lemon” yang berharga lebih daripada RM50,000 di Malaysia buat masa ini tidak boleh mengemukakan tuntutan mereka untuk penggantian atau pemulangan wang di TTPM. Oleh sebab itu, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali membawa kes tuntutan tersebut ke mahkamah, yang melibatkan proses perundangan yang mahal dan memakan masa.

Walaubagaimanapun, semasa persidangan Dewan Parlimen yang membahaskan perkara berkaitan dengan Lemon Law pada 3 Julai yang lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memaklumkan akan membuat penambahbaikan berhubung dengan kenaikan had tuntutan pampasan ganti rugi daripada RM50,000 kepada jumlah yang lebih besar sebagai usaha untuk melindungi pengguna dalam urusan pembelian kenderaan.


Selain itu, kekangan lain yang dihadapi oleh pengguna ketika membuat tuntutan ganti rugi ialah kesukaran mendapatkan surat kelulusan daripada pihak bank berikutan isu pemilikan di bawah Akta Sewa Beli 1967.

Tafsiran pemilikan di bawah Akta tersebut meletakkan bank atau institusi kewangan sebagai pemilik kenderaan manakala pengguna sebagai pemajak. Pemilikan kenderaan hanya akan dipindahkan kepada pengguna selepas selesai tempoh pembayaran kenderaan.


Kini, KPDN sedang dalam usaha untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan penyeragaman surat kelulusan antara institusi perbankan untuk membolehkan pengguna membuat tuntutan ganti rugi di TTPM atau mahkamah.

Justeru, Lemon Law perlu dilaksanakan di Malaysia untuk memastikan pembekal/pengilang kenderaan bertanggungjawab terhadap produk mereka yang cacat seperti yang tertakluk dalam undang-undang.

Lemon Law juga harus digunakan untuk kenderaan terpakai dan yang baharu. Kenderaan terpakai yang hendak dijual hendaklah diperiksa terlebih dahulu oleh PUSPAKOM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau mana-mana agensi yang berkaitan bagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik sebelum berlaku sebarang transaksi penjualan.

Ketiadaan Lemon Law di Malaysia menyebabkan pengguna kita terdedah kepada risiko produk yang cacat atau rosak. Sudah tiba masanya untuk menyedari kepentingan pelaksanaan Lemon Law yang bukan sahaja terpakai untuk kenderaan tetapi untuk semua barangan pengguna.


Sila layari laman sesawang Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), www.nccc.org.my dan klik E-ADUAN untuk membuat sebarang aduan. Pengguna juga boleh menghubungi NCCC di talian 03-7877 1076.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)