Insurans/Takaful Bencana Alam – Adakah Ia Satu Keperluan?
Bencana alam amat sukar diduga, menjadikan perlindungan tambahan sangat berguna untuk memastikan harta benda anda sentiasa dilindungi
Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan bencana alam seperti perlindungan banjir atau tanah runtuh untuk melindungi harta benda termasuk kediaman serta kenderaan. Sekiranya ditimpa bencana alam seperti itu, dikhuatiri kerosakan yang berlaku akan membebankan kewangan. Malah, sebarang tuntutan ganti rugi akan bergantung pada polisi insurans/ takaful individu terbabit sama ada mereka ada menambah perlindungan tambahan peril khas (special perils coverage) bagi kenderaan dan harta benda mereka atau tidak. Oleh itu, pengguna perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi harta benda daripada ditimpa malapetaka yang tidak diingini.
Walaupun anda mempunyai wang simpanan kecemasan, ia mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos baik pulih kenderaan tersebut sekiranya ditimpa bencana yang sukar diduga.
Malah, keadaan menjadi lebih teruk sekiranya anda tiada kenderaan lain untuk digunakan sepanjang tempoh urusan baik pulih kenderaan terbabit. Di sinilah perlindungan bencana alam atau lebih dikenali sebagai caruman perlindungan tambahan peril khas memainkan peranannya. Namun begitu, polisi insurans/takaful mengandungi terma dan syarat tertentu yang perlu dipatuhi sekiranya anda mahu membuat tuntutan.
Contohnya, jika anda memandu dengan sengaja ke tempat yang sedang dilanda banjir atau meletakkan kenderaan anda di tempat selain daripada tempat letak kenderaan yang betul, insurans/takaful tidak akan menanggung kos kerosakan jika ia berlaku. Maksudnya, dalam situasi seperti itu, anda perlu menanggung sendiri kos baik pulih kenderaan anda. Oleh itu, pastikan anda sentiasa memarkir kenderaan anda di tempat letak kenderaan yang sepatutnya dan bukan di tepi jalan.
Kebiasaannya, bencana alam sukar diduga dan dielakkan. Maka, perlindungan tambahan adalah sangat berguna untuk memastikan harta benda anda sentiasa dilindungi. Insurans/takaful boleh membantu mangsa yang terkesan akibat banjir untuk mengurangkan kerugian dan memulihkan kehidupan dan perniagaan mereka selepas insiden tersebut. Rumah adalah antara aset yang paling bernilai tinggi dan mempunyai pelbagai jenis harta benda di dalamnya. Jika dinilai, kediaman ialah nadi bagi sesebuah keluarga dan juga tempat perlindungan bagi penghuni rumah tersebut. Oleh yang demikian, pemiliknya perlu memiliki insurans/takaful sebagai jaringan keselamatan atau persiapan kewangan jika berlaku insiden yang tidak diingini.