Apa Itu AI Scam?
AI Scam ialah teknik penipuan/scam yang menggunakan teknologi AI untuk membantu menipu mangsa
Kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) merupakan topik perbincangan yang paling hangat pada masa kini. Walaupun ia berguna untuk meningkatkan produktiviti manusia tetapi penjenayah juga menggunakannya untuk memerangkap mangsa — termasuklah mereka yang langsung tidak menggunakan teknologi AI.
Contohnya, baru-baru ini scammer telah menggunakan wajah Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan bekas pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dalam video yang mempromosikan skim pelaburan. Malah wajah dan suara pempengaruh terkenal, Khairul Aming turut digunakan oleh scammer untuk penjualan barangan dalam talian melalui aplikasi TikTok. Negara luar juga tidak terkecuali daripada isu AI scam; sebagai contoh, wajah Elon Musk telah digunakan untuk mempromosikan skim kewangan. Oleh itu, anda perlu mengetahui lebih lanjut mengenai jenis-jenis AI scam yang kerap digunakan oleh scammer, serta cara untuk melindungi diri anda!
Tolong terangkan tentang AI Scam supaya saya mudah faham
AI ialah sejenis teknologi yang membolehkan mesin melaksanakan sesuatu tugas yang memerlukan kebijaksanaan manusia. Ia sebenarnya telah wujud sejak sekian lama. Namun, AI menjadi semakin popular sejak kebelakangan ini disebabkan oleh kemunculan AI generatif (gen AI), yang membolehkan komputer mencipta kandungan baharu seperti teks, foto dan muzik setelah mengenal pasti corak dalam data yang sedia ada. Contoh yang paling terkenal ialah ChatGPT, tetapi terdapat juga aplikasi AI yang lain, seperti Google Gemini, MidJourney AI dan Microsoft Copilot.
AI Scam pula ialah teknik penipuan/scam yang menggunakan teknologi AI untuk membantu menipu mangsa. Scammer akan menggunakan teknologi AI untuk mencipta kaedah penipuan yang baharu. Jika anda pernah mendengar tentang teknologi deepfake, maka anda telah mengetahui sedikit sebanyak tentang AI scam.
Selain itu, scammer juga boleh menggunakan teknologi AI untuk menambah baik kaedah scam tradisional mereka. Sebagai contoh, kini scammer berupaya mencipta e-mel pancingan data (data phishing) dengan mudah dan lebih pantas untuk mengelirukan mangsa. Dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih, ia akan menggalakkan lagi peningkatan jenayah AI scam.
Laporan Experian yang bertajuk Future of Fraud Forecast meramalkan bahawa AI scam akan terus meningkat pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya, terutamanya jenayah kecurian identiti yang menggunakan teknologi AI.
Apa yang harus saya lakukan sekarang?
Teknologi AI berupaya meyakinkan mangsa bahawa aktiviti penipuan scammer yang sedang berlaku ialah sesuatu yang realistik. Ini bermakna mangsa akan mudah terperdaya kerana mereka menyangkakan perkara tersebut adalah sahih. Oleh itu, anda perlu lebih berjaga-jaga dalam melindungi diri dan maklumat peribadi masing-masing.
Sumber: Multiply by Creador Foundation