Pengguna: Jangan Mudah Terperdaya Dengan Iklan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima banyak aduan mengenai iklan yang ditawarkan oleh penjual yang tidak jujur
Kita sering melihat dan mendengar iklan yang berbunyi seperti berikut: “Beli satu, percuma satu”, “Diskaun sehingga 70%”, “100% original”, “Kopi Detox — pelangsingan badan dan anda boleh turun berat badan dalam masa dua minggu tanpa perlu bersenam”, “Promosi Rawat Kulit Wajah” dan banyak lagi. Sungguhpun menarik, namun berwaspadalah terhadap sesetengah pengiklan yang membuat kenyataan palsu atau mengelirukan, semata-mata untuk mendorong seseorang pengguna melakukan kesilapan ketika membuat keputusan untuk membeli.
Iklan dalam konteks ini termasuklah yang berupa ucapan, tulisan, bunyian atau gambar, yang diterbitkan melalui pameran atau penggunaan media cetak seperti surat khabar, majalah atau bahan-bahan bercetak, seperti katalog dan senarai harga. Ia juga boleh wujud dalam bentuk pertunjukan filem, gambar atau penggunaan medium elektronik seperti radio, televisyen atau telekomunikasi dalam talian.
Apa yang tidak diketahui oleh orang ramai ialah risiko yang bakal mereka hadapi di sebalik tawaran harga yang terlalu murah. Begitu juga dengan promosi yang ditawarkan seperti “Beli satu, percuma satu” serta diskaun yang terlalu tinggi oleh penjual yang menjual barangan tersebut. Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima banyak aduan mengenai iklan yang ditawarkan oleh penjual yang tidak jujur. Antara aduan tersebut ialah barang yang diiklankan tidak wujud, barang tersebut berkualiti rendah, barang dijual adalah palsu, penjual tidak dapat dikesan selepas bayaran dibuat, dan produk tersebut tidak berkesan seperti yang dijanjikan.
Sebagai contoh, “Kulit akan menjadi putih dalam masa 2 minggu atau wang anda akan dikembalikan” terbukti palsu apabila penjual tersebut tidak dapat dihubungi oleh pengguna untuk mendapatkan kembali wang yang telah dibayar untuk produk tersebut.
Panduan Kepada Pengguna
Pengguna harus tampil membuat aduan sekiranya mereka mendapati wujudnya iklan yang palsu dan mengelirukan. Pengguna harus mengetahui bahawa iklan yang palsu atau mengelirukan adalah salah di sisi undang-undang. Pengiklan, sama ada pengeluar, agensi pengiklanan, media dan pihak lain yang terlibat dalam pengeluaran iklan tersebut, boleh dikenakan tindakan. Semua iklan palsu atau mengelirukan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan denda antara RM50,000 hingga RM1 juta, dan penjara antara tiga hingga lima tahun.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menubuhkan Jawatankuasa Pengiklanan, khusus untuk melindungi pengguna yang berhadapan dengan masalah seperti ini. Fungsi utama jawatankuasa ini adalah untuk menasihati YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam mana-mana aspek berhubung dengan pengiklanan, termasuk iklan-iklan yang bertentangan dengan Bahagian II Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Pengguna haruslah berhati-hati semasa membuat sebarang pembelian berdasarkan iklan yang dipaparkan. Buat semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengetahui sama ada syarikat pengiklanan tersebut berdaftar atau tidak. Pengguna juga diingatkan untuk menyimpan segala resit sebagai bukti pembelian untuk mendapatkan ganti rugi. Jika pengguna tiada bukti yang dapat dikemukakan untuk membuktikan tuntutan mereka, maka sukar untuk pihak berwajib mengambil tindakan ke atas syarikat pengiklanan terbabit.
Sila layari laman sesawang Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), www.nccc.org.my dan klik E-ADUAN untuk membuat sebarang aduan. Pengguna juga boleh menghubungi NCCC di talian 03-7877 1076.
Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)