Pengurusan Tenaga Dalam Organisasi
Semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengurangkan permintaan tenaga melalui inisiatif kecekapan tenaga, khususnya di peringkat organisasi.
Senario permintaan tenaga dan perubahan iklim
Permintaan tenaga saban hari semakin meningkat seiring dengan perkembangan ekonomi dan populasi. Namun, peningkatan permintaan tenaga ini didatangi dengan cabaran besar iaitu perubahan iklim. Penjanaan tenaga elektrik negara pada masa kini masih banyak bergantung dengan bahan api yang menyumbang pelepasan gas rumah hijau seperti arang batu, gas asli dan minyak. Ini seterusnya menyebabkan pemanasan global dan perubahan iklim. Berdasarkan sumber data beberapa dekad kebelakangan ini, terdapat peningkatan ketara bagi suhu global, peningkatan paras laut, dan kejadian cuaca ekstrem. Ini memberi kesan kepada ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Berdasarkan sumber data tahun 2020, pelepasan gas rumah hijau Malaysia disumbang oleh pelbagai sektor termasuk sektor tenaga.
Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 70% kapasiti penjanaan tenaga elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050. Pelbagai inisiatif telah dirangka melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Antara inisiatif di bawah NETR adalah untuk negara beralih daripada penggunaan arang batu kepada bahan api yang lebih lestari dan rendah karbon.
Selain inisiatif berkaitan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga serta mobiliti rendah karbon turut menjadi keutamaan negara. Langkah ini adalah selari dengan ikrar Persidangan ke-28 Pelbagai Pihak (COP28) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu global sebanyak tiga kali ganda menjelang 2030 dan menggandakan kemajuan dalam kecekapan tenaga.
Sementara negara menuju ke arah agenda peralihan tenaga, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengurangkan permintaan tenaga melalui inisiatif kecekapan tenaga, khususnya di peringkat organisasi. Berdasarkan Laporan Imbangan Tenaga 2021 terbitan Suruhanjaya Tenaga (ST), sektor kediaman dan komersial menggunakan sebanyak 8,084 ktoe tenaga pada tahun 2021, manakala sektor industri menggunakan sebanyak 19,157 ktoe tenaga pada tahun yang sama. Pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga oleh kedua-dua sektor ini dapat memberikan impak yang besar dalam mengurangkan permintaan tenaga dan juga mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Kepentingan pengurusan tenaga dalam organisasi
Pengurusan tenaga yang berkesan dalam organisasi bukan sahaja dapat membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, malah dapat membantu mengurangkan kos operasi. Dalam konteks perubahan iklim, pengurusan tenaga menjadi lebih kritikal. Organisasi yang gagal mengurus penggunaan tenaga mereka dengan baik berisiko menghadapi pelbagai cabaran. Ini termasuk peningkatan kos operasi, risiko reputasi tercalar, dan sekatan undang- undang. Di samping itu, mereka juga mungkin menghadapi kesukaran untuk menarik pelabur, terutamanya pelabur yang memandang serius dengan isu alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).
Di Malaysia, terdapat perundangan khusus berkaitan penggunaan tenaga dengan cekap iaitu Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik Dengan Cekap 2008 (EMEER 2008). Peraturan ini memerlukan pepasangan atau organisasi yang terlibat untuk melaksanakan sebahagian unsur pengurusan tenaga, seperti pelantikan Pengurus Tenaga dan penghantaran laporan berkala pengurusan tenaga kepada pihak ST. Dalam masa terdekat, EMEER 2008 bakal digantikan dengan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) yang telah diluluskan di Dewan Rakyat. Pelaksanaan akta baharu tersebut bakal melibatkan lebih banyak keperluan untuk dipatuhi oleh pepasangan atau organisasi yang terlibat, antaranya untuk melaksanakan audit tenaga secara berkala dan melaksanakan Sistem Pengurusan Tenaga.
Keberkesanan Sistem Pengurusan Tenaga Lestari (SPTL)
Sistem Pengurusan Tenaga Lestari (SPTL) merupakan suatu sistem pengurusan yang dibangunkan oleh organisasi untuk mengurus penggunaan tenaga mereka dengan lebih cekap dan berkesan. Sistem ini melibatkan proses dan prosedur yang digunakan untuk memantau, mengawal, dan mengurangkan penggunaan tenaga.
Matlamat utama adalah untuk mengurangkan penggunaan tenaga, menjimatkan kos operasi, dan mengurangkan impak alam sekitar. Pelaksanaan SPTL dapat memastikan sesebuah organisasi mencapai peningkatan berterusan dalam kecekapan tenaga serta meningkatkan kompetensi, kesedaran, motivasi dan rasa tanggungjawab warga organisasi dalam menyumbang kepada inisiatif kecekapan tenaga bagi organisasi tersebut.
Gambar Rajah 1: Senario penggunaan tenaga oleh organisasi yang melaksanakan SPTL dan tidak melaksanakan SPTL
Pensijilan SPTL
Antara pensijilan yang berkaitan dengan SPTL adalah ISO 50001:2018 Energy Management Systems dan Energy Management Gold Standard (EMGS) di bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS). Kedua-dua standard menyediakan garis panduan kepada organisasi untuk mewujudkan, melaksanakan, dan mengekalkan SPTL yang berkesan. Ia membantu organisasi dalam menetapkan dasar/polisi tenaga, mengenal pasti peluang penjimatan tenaga, menetapkan sasaran dan pelan tindakan, dan memastikan penambahbaikan berterusan dalam pengurusan tenaga.
Peranan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) untuk menggalakkan pelaksanaan SPTL di Malaysia
Sebagai sebuah agensi Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang diberi mandat untuk memacu inisiatif pertumbuhan hijau, mitigasi perubahan iklim dan gaya hidup hijau negara, MGTC memainkan peranan tersendiri dalam mewujudkan kesedaran dalam kalangan warga Malaysia khususnya di peringkat organisasi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, termasuklah melalui pengurusan tenaga dengan cekap.
Dalam konteks ini, MGTC merupakan badan pensijilan yang dilantik oleh pihak ASEAN Centre for Energy (ACE) bagi pelaksanaan program AEMAS di Malaysia. Program AEMAS yang bermula sejak tahun 2010 adalah suatu inisiatif dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di rantau ASEAN melalui pengurusan tenaga dengan cekap. Program ini terbahagi kepada dua sub-program iaitu Energy Manager Training Course (EMTC) dan Energy Management Gold Standard (EMGS).
Gambar Rajah 2: Penarafan 1-Star, 2-Star dan 3-Star EMGS
EMTC merupakan program pembangunan modal insan untuk melahirkan Pengurus Tenaga Bertauliah (CEM), manakala EMGS merupakan pensijilan untuk organisasi yang melaksanakan amalan terbaik SPTL. Sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 189 organisasi di Malaysia telah melaksanakan SPTL berdasarkan kriteria pensijilan EMGS dan telah melalui penilaian pensijilan oleh pihak MGTC. Organisasi-organisasi yang terlibat merangkumi pelbagai fasiliti sektor awam dan swasta seperti hospital, makmal kesihatan, klinik, institusi penyelidikan, institusi pendidikan, institusi perbankan, bangunan pejabat dan industri.
Gambar Rajah 3: Statistik Pensijilan EMGS
Kesimpulan
Pelaksanaan SPTL oleh sesebuah organisasi adalah penting untuk menyumbang kepada pengurangan penggunaan tenaga, penjimatan kos operasi, peningkatan kelestarian, pematuhan terhadap perundangan berkaitan tenaga, peningkatan reputasi, serta peningkatan kompetensi, kesedaran, motivasi dan rasa tanggungjawab dalam kalangan warga organisasi. Justeru, semua pihak, baik dari sektor kerajaan, komersial atau industri disaran untuk membangunkan dan melaksanakan SPTL bagi menyokong sasaran negara berkaitan kecekapan tenaga dan peralihan tenaga.
Sumber: Green Standards Division, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC)