Jadilah Pengguna Celik Tenaga
Celik tenaga adalah kunci utama untuk meningkatkan pemahaman kita mengenai sistem tenaga.
Bekalan tenaga yang mencukupi sangat penting untuk negara kita terus maju ke hadapan. Beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan tenaga telah meningkat seiring dengan pertumbuhan pesat sektor industri dan pusat komersial yang menggunakan pelbagai jenis jentera, peralatan elektrik dan elektronik, serta perisian komputer yang lebih canggih dan kompleks. Selain itu, hampir setiap rumah moden kini dilengkapi dengan alat penyaman udara, peti sejuk, mesin basuh, dan peralatan elektrik lain. Dengan bekalan tenaga yang mencukupi, kehidupan kita menjadi lebih mudah kerana kita hanya perlu menekan suis untuk menghidupkan peralatan elektrik.
Mengapa celik tenaga adalah penting?
Celik tenaga adalah kunci utama untuk meningkatkan pemahaman kita tentang sistem tenaga, dari segi tabiat penggunaan tenaga seseorang sehingga ke infrastruktur tenaga boleh baharu.
Sistem tenaga memainkan peranan penting dalam kehidupan harian kita, malah ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan. Memahami pelbagai aspek sistem tenaga adalah penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan seterusnya membina sistem tenaga yang lebih baik dan lestari untuk masa hadapan. Ini bukan sahaja membantu kita dalam membuat keputusan yang lebih bijak, tetapi juga memastikan bahawa kita semua dapat menyumbang kepada pembangunan tenaga yang lestari.
Merapatkan jurang antara institusi
Untuk meningkatkan tahap celik tenaga, negara memerlukan persiapan secara kolektif bagi mengatasi jurang pemahaman masyarakat tentang industri tenaga. Jurang ini boleh menghalang pembentukan komuniti yang bermaklumat berkenaan sistem tenaga.
Pemacu utama strategi tersebut ialah kerjasama antara semua pihak berkepentingan. Oleh itu, Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) telah melibatkan beberapa rakan kongsi yang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan merentas industri untuk memacu perubahan yang signifikan ke arah masa depan yang lestari. Peranan dan tanggungjawab yang jelas telah ditetapkan dalam kalangan rakan kongsinya bagi membolehkan program celik tenaga mengumpulkan pelbagai jenis sumber, memperoleh pandangan daripada pelbagai sudut, dan memperluaskan jangkauan usahanya, sekali gus meningkatkan keberkesanan program tersebut.
Senarai rakan kongsi meliputi agensi kerajaan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan pendidikan, dan media—masing-masing memainkan peranan yang berbeza dalam melaksanakan empat bidang tumpuan program.
Usaha gabungan sebelum ini yang diterajui TNB pada tahun 2022 telah mencetuskan pelbagai inisiatif. Forum dan seminar, sesi taklimat dan perkongsian ilmu bersama pengawal selia, penggubal dasar, pemain industri, dan media telah diadakan untuk memperkukuh jaringan dan pemahaman bersama.
Selain itu, penganjuran kempen pendidikan dan pameran dengan kerjasama badan pendidikan dan persatuan pengguna juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran mengenai topik tenaga. Kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri adalah kunci utama untuk penetapan dasar dan insentif yang betul.
Ini seterusnya akan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan masyarakat menjadi lebih celik tenaga. Dalam konteks ini, peralihan tenaga bersih hanya dapat direalisasikan dengan usaha bersama daripada semua pihak berkepentingan.
Pada masa yang sama, sokongan yang berterusan daripada orang ramai membantu menguatkan lagi gerakan tersebut dan memastikan bahawa pilihan yang dibuat adalah selaras dengan matlamat untuk mencapai sistem tenaga yang lebih lestari dan bertanggungjawab. Kesedaran dan pendidikan yang meluas mengenai kepentingan celik tenaga bukan sahaja menguatkan komuniti, tetapi juga membantu mempercepatkan peralihan tenaga yang adil dan inklusif untuk semua.
Kempen pendidikan tenaga
MELP amat berdedikasi untuk mencipta impak jangka panjang dengan mengubah rakyat Malaysia menjadi lebih berpengetahuan tentang tenaga. Hasil impak yang diharapkan termasuk keupayaan pengawal selia untuk membuat keputusan yang bermaklumat tentang dasar yang berkaitan dengan tenaga dan peningkatan pelaburan dalam sistem tenaga daripada sektor awam dan swasta. Dengan membentuk sikap positif terhadap tenaga, gerakan ini diharapkan dapat mewujudkan sokongan yang lebih besar daripada rakyat dan pemegang berkepentingan utama, seterusnya mencapai perubahan yang berkekalan dalam sektor tenaga.
Oleh itu, MELP akan terus menggunakan pendekatan program kolaborasi pada tahun yang akan datang melalui pelbagai inisiatif yang dirancang. Ini termasuk sesi taklimat dan perkongsian ilmu bersama badan kerajaan dan pengawal selia, serta pelaksanaan kempen dan program bersama Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Kementerian Pendidikan, Bahagian Politeknik dan Kolej Komuniti dalam Kementerian Pendidikan Tinggi, organisasi lain, dan pempengaruh (influencer). Program-program ini bertujuan untuk menggalakkan kempen kesedaran mengenai kecekapan tenaga. Malah MELP turut berganding bahu bersama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui universiti yang terpilih seperti Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memperkenalkan modul berkaitan tenaga.
Peranan MELP dalam membentuk minda masyarakat
Untuk mencapai peralihan tenaga yang berkesan, tindakan daripada setiap lapisan masyarakat diperlukan. Jejak karbon dalam setiap tindakan mereka perlu dibuat penilaian secara menyeluruh. Malaysia masih mempunyai potensi besar untuk meningkatkan usaha ke arah mencapai agenda hijau negara, dan MELP memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan visi sifar bersih.
Celik tenaga amat penting untuk masa depan kita. Apabila diri kita telah terdidik dengan pengetahuan mengenai sistem tenaga dan sedar mengenai kesannya, maka kita berupaya untuk membuat keputusan yang lebih baik bagi memastikan kehidupan yang lestari dan masa depan yang lebih cerah untuk planet kita.