Gas Asli Pastikan Lampu Di Rumah Terus Menyala
Di Malaysia, gas asli adalah antara bahan api yang digunakan secara meluas terutama bagi menjana tenaga elektrik.
Kekayaan sumber gas asli yang ditemukan di ketiga-tiga wilayah - Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak - di negara ini membolehkan penduduk menikmati bekalan tenaga mampu milik yang berterusan sejak lebih empat dekad lalu. Pasaran gas domestik Malaysia bermula di Sarawak pada awal 1960-an, menerusi penghantaran gas menggunakan saluran paip bagi kegunaan domestik dan komersial, sebelum disusuli Semenanjung Malaysia pada tahun 1984. Di Semenanjung Malaysia, gas asli disalurkan ke seluruh wilayah melalui sistem paip sepanjang 2,500 kilometer yang dibangunkan oleh Petronas Gas Berhad (PGB), atau dikenali sebagai paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU), yang dibina menerusi tiga fasa dari tahun 1984 hingga 1998. Sistem ini menjadi asas dan juga pendorong pembangunan industri gas asli di Semenanjung Malaysia.
Akses kepada gas asli menerusi PGU menjadi pemacu dalam penjanaan elektrik, selain sebagai pendaya upaya bagi pemain industri terutama yang melibatkan penggunaan tenaga secara intensif.
Bagi meningkatkan pengagihan gas, Gas Malaysia Berhad telah membangunkan Sistem Pengagihan Gas Asli daripada PGU untuk menampung permintaan daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana serta pusat komersial dan pelanggan domestik.
Kini, nilai rantaian yang membentuk industri gas sudah matang dan kukuh kerana ia melibatkan penyertaan banyak syarikat Malaysia.
Pelepasan rendah karbon dan boleh dipercayai
Gas asli merupakan bahan api hidrokarbon paling bersih dan ia tidak berwarna, tidak berbau dan tidak toksik. Selain daripada itu, gas asli juga merupakan gas pelepasan rendah karbon yang boleh “dipercayai”, menjadikan bahan api fosil ini sebagai sumber tenaga lestari. Tambahan pula, gas ini merupakan pilihan bahan api yang ekonomi bagi kebanyakan perniagaan kerana menawarkan kecekapan agak tinggi serta harga yang kompetitif. Dalam konteks tempatan, gas asli lazimnya digunakan untuk penjanaan tenaga yang membekalkan elektrik ke rumah dan perniagaan, selain digunakan untuk memasak.
Di sesetengah negara lain, gas asli digunakan secara meluas bagi memanaskan dan menghangatkan ruang. Di peringkat global, gas asli menyumbang kepada satu pertiga daripada penjanaan tenaga elektrik dunia kerana bahan ini mudah disimpan dan boleh dihantar menerusi saluran paip atau dicairkan dan dihantar menggunakan kapal.
Di Malaysia, gas asli adalah antara bahan api yang digunakan secara meluas terutama bagi menjana tenaga elektrik. Stesen jana kuasa berasaskan gas dapat dihidupkan dan dimatikan dengan cepat, sekali gus memudahkan respons terhadap permintaan dan juga sebarang ketidakstabilan grid kuasa.
Bagi memastikan bekalan elektrik tanpa gangguan, boleh dipercayai serta cekap kos perbelanjaan di negara ini, kerajaan memutuskan untuk mempelbagaikan dan mengimbangi campuran penjanaan bahan api dengan meningkatkan penggunaan gas serta tenaga boleh baharu (TBB).
Gas asli demi masa depan lebih baik dan bersih
Seiring dengan aspirasi kerajaan ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menggunakan sumber tenaga yang lebih bersih. Ini bermakna wujud anjakan ke arah tenaga boleh baharu dan bahan api fosil yang lebih bersih. Dalam konteks ini, penggunaan arang batu akan dihentikan secara beransur-ansur.
Bermula tahun 2033, tiada lagi loji kuasa berasaskan arang batu yang akan dibina. Menjelang 2050 pula, arang batu tidak akan lagi digunakan untuk menjana elektrik yang menyalakan lampu di kediaman kita. Pada masa sama, TBB akan beransur-ansur meningkatkan penguasaan campuran tenaga dalam pasaran Malaysia. Dalam tempoh peralihan ini, gas dijangka memainkan peranan penting, khususnya untuk mengimbangi ketidakstabilan TBB (sehinggalah wujud teknologi, kemudahan infrastruktur, pemodenan grid, penyelesaian penyimpanan tenaga, pengurusan permintaan fleksibel serta dasar dan peraturan yang menyokong) bagi membolehkan TBB mencapai potensi sepenuhnya.
Selain itu, peranan gas juga kritikal dalam tempoh pemberhentian penggunaan arang batu seawal tahun 2029. Langkah ini akan membantu menurunkan kadar pelepasan karbon negara dan seterusnya meningkatkan kebergantungan terhadap gas. Sehubungan dengan itu, lebih banyak gas dalam bentuk yang lebih bersih digunakan bagi meneruskan peranan jangka panjang dalam menyediakan jaminan tenaga buat negara. Ini dapat membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau dan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Ini kerana gas asli adalah lebih cekap tenaga dan kadar pelepasan karbon pula adalah 50% lebih rendah berbanding arang batu. Dalam tindak balas terhadap penambahbaikan peranan serta jangkaan yang lebih tinggi terhadap bahan api, industri gas mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan jejak karbon menerusi teknologi pengurangan pelepasan karbon, seperti penyimpanan dan penggunaan tangkapan karbon serta pembakaran (flaring) gas metana.
Guna tenaga dengan cekap
Seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerajaan berikrar untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% merentasi seluruh sektor ekonomi menjelang 2030, serta merealisasikan Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.
Selaras dengan ikrar tersebut, pada Oktober 2023, penggubal dasar telah meluluskan undang-undang yang menuntut pengguna tenaga terbesar melaksanakan langkah-langkah penjimatan tenaga ketika negara berusaha mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon. Undang- undang tersebut bertujuan memastikan peraturan berkaitan kecekapan tenaga Malaysia seiring dengan pematuhan piawaian antarabangsa.
Selain itu, Kerajaan juga menggalakkan penggunaan peralatan cekap tenaga dalam usaha mengurangkan bil elektrik.
Bermula 10 Disember 2023, orang ramai diberikan rebat sehingga RM400 bagi pembelian peralatan cekap tenaga seperti penyaman udara dan peti sejuk. Bagi sektor perindustrian, pembangunan teknologi cekap tenaga menjadi pemacu penting dalam membantu negara merealisasikan sasaran penjimatan tenaga, termasuk penjimatan purata 21% menjelang 2040 dan 22% menjelang 2050 di bawah NETR.
Berdekad memacu pertumbuhan ekonomi
Menurut kajian Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, industri gas Malaysia bernilai lebih RM10 bilion pada 2017 yang membawa masuk lebih RM135 bilion setahun dari segi faedah ekonomi, serta mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan.
Kajian tersebut menganggarkan setiap RM10 hasil yang dikeluarkan oleh industri gas asli menjana lebih RM25 dalam ekonomi, sementara setiap 10 pekerjaan yang diwujudkan pula menghasilkan lebih 25 pekerjaan dalam ekonomi lebih luas.
Industri gas memberikan pelbagai faedah kepada Malaysia dan menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi negara melalui kewujudan peluang pekerjaan, penubuhan industri sokongan tempatan serta perolehan asing yang menyokong dan mengembangkan ekonomi domestik.
Ini kerana industri tersebut berupaya menjana aktiviti ekonomi merentasi spektrum industri sokongan dan jaringan pembekal.
Sehubungan dengan itu, setiap ringgit yang dibelanjakan untuk gas di Malaysia berupaya menjana hasil berlipat kali ganda dalam ekonomi dengan kesan bersih sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar meningkat berkali ganda berbanding nilai asal.
Kesimpulannya, gas asli merupakan bahan api penting dalam peralihan tenaga kita kerana ia dapat memastikan jaminan bekalan dan boleh dipercayai sambil memupuk pertumbuhan ekonomi negara. Penggunaan yang cekap oleh pengguna akhir (pengguna domestik) mengupayakan mereka mengurangkan jejak karbon serta menguruskan kos tenaga elektrik dengan lebih berhemat tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang untuk menampung keperluan tenaga mereka.
Sumber: Artikel Fokus BERNAMA dan Persatuan Gas Malaysia (MGA)