Anak-Anak Perlu Dididik Tentang Pengurusan Kewangan
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa kini, pendedahan pengurusan kewangan kepada anak-anak bermula daripada sekarang
Dalam keadaan ekonomi masa kini yang tidak menentu, pengurusan kewangan keluarga merupakan satu perkara yang sangat penting. Konsep pengurusan kewangan bukan sahaja terhad kepada golongan dewasa, malah ia perlu diterapkan di peringkat kanak-kanak lagi.
Anak-anak perlu didedahkan kepada pengurusan kewangan seawal yang mungkin. Ini dapat membantu mengurangkan jumlah perbelanjaan bulanan anda. Dengan peningkatan harga barang, anda sememangnya memerlukan bantuan daripada semua ahli keluarga. Anak-anak tidak terkecuali untuk sama-sama meringankan beban kewangan anda. Mahu atau tidak, anda perlu mengakui bahawa pengurusan kewangan ialah satu keperluan, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang semuanya memerlukan duit. Malangnya, ramai ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak mereka mengenai konsep asas pengurusan kewangan. Perkara ini perlu diubah kerana mendidik anak-anak mengenai pengurusan kewangan adalah sama pentingnya dengan mengajar anak-anak mengenai asas kebersihan diri seperti memberus gigi, mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya. Pengajaran yang paling penting untuk disampaikan kepada anak-anak ialah kepentingan menabung untuk mengelakkan pembaziran. Ini perlu dilaksanakan demi kebaikan anda dan anak-anak anda.
Mungkin ada sebahagian anak-anak pada zaman sekarang yang beranggapan bahawa duit merupakan satu perkara yang amat mudah untuk diperoleh. Cuba bayangkan senario yang sering berlaku ini: Seorang anak kecil meminta ibunya membelikan mainan baru tetapi ibunya tidak mempunyai duit tunai yang mencukupi untuk membelikan mainan tersebut. Dia memberitahu anaknya, “Mak tidak cukup duit nak belikan mainan ini untuk adik.” Si anak pula dengan lurusnya menjawab, “ATM kan ada. Mak boleh keluarkan duit daripada mesin ATM.” Ini ialah contoh pemahaman anak-anak pada zaman sekarang! Bagi mereka, wang yang dikeluarkan daripada mesin ATM itu tidak ada had pengeluarannya, dan mereka boleh ke mesin ATM pada bila-bila masa sahaja untuk mengeluarkan seberapa banyak wang yang mereka mahu.
Dalam hidup mereka, kanak-kanak akan melalui satu fasa ingin memiliki pelbagai jenis benda. Namun, mereka tidak sedar bahawa benda-benda tersebut memerlukan wang. Mereka juga tidak sedar bahawa ibu bapa mereka perlu bekerja keras untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Oleh itu, mereka perlu diajar bahawa tidak semua yang dihajati boleh menjadi milik mereka. Apabila anak-anak sudah sampai ke peringkat yang mudah diajar, sudah tiba masanya untuk anda memberikan mereka pendedahan mengenai pengurusan kewangan.
Anak-anak perlu mempunyai disiplin yang tinggi untuk menabung, sama ada melalui akaun simpanan di bank mahupun sekadar dalam tabung simpanan di rumah.
Apabila anak-anak mengenali perbezaan antara keperluan dan kehendak serta kepentingan menabung, mereka akan jadi lebih berdisiplin untuk menabung dan mengawal diri daripada membazir. Selain itu, mereka juga akan mula berbelanja mengikut kemampuan diri.
Bagi mengelakkan anak-anak daripada ditimpa masalah seperti kewangan, anda perlu membimbing mereka mengenai perancangan kewangan sejak awal lagi. Jika anak-anak anda dapat menguruskan wang dengan lebih baik, mereka akan berupaya untuk menyimpan dan melabur wang yang disimpan.
Di samping itu, wang lebihan tersebut boleh digunakan untuk menderma atau menolong kawan atau orang-orang yang kurang berkemampuan. Inilah masanya untuk kita mendedahkan kepada anak-anak mengenai golongan yang kurang bernasib baik agar mereka tahu menilai kepentingan jati diri yang baik dan sentiasa bersyukur dengan segala kemewahan dan kesenangan yang dimiliki. Dengan menggalakkan sifat dermawan dalam diri anak-anak pada usia yang muda, mereka akan membesar sebagai individu yang mempunyai sifat empati, terpuji dan menghargai kesan positif yang mereka bawa kepada persekitaran dan masyarakat sekeliling.
Sumber: ©Securities Industry Development Corporation 2010