Bagaimana Tunggakan Pinjaman PTPTN Mempengaruhi CCRIS?
Pinjaman PTPTN sangat membantu dalam mengurangkan beban kewangan semasa belajar, oleh itu, peminjam perlu sedar akan tanggungjawab besar yang datang bersama pinjaman ini

Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Malaysia untuk membantu pelajar membiayai kos pendidikan tinggi mereka. Pinjaman ini diberikan kepada pelajar yang layak bagi menampung kos yuran pengajian, perbelanjaan harian dan keperluan lain yang berkaitan dengan pembelajaran.
Isu bayaran balik pinjaman PTPTN sering menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminjam terutamanya peminjam yang baru sahaja tamat pengajian. Pada waktu ini, peminjam baru ingin memulakan langkah dalam dunia pekerjaan. Namun, cabaran kewangan pada awal kerjaya menjadikan bayaran balik pinjaman PTPTN suatu beban. Akibatnya, mereka tidak dapat melunaskan bayaran balik pinjaman PTPTN. Dalam situasi ini, peminjam hendaklah bijak menguruskan kewangan mereka agar bayaran balik pinjaman PTPTN dibayar mengikut Jadual Bayaran Balik (JBB) yang telah ditetapkan. Kegagalan mematuhi JBB boleh membawa kepada tunggakan dan seterusnya memberi kesan negatif kepada rekod kredit peminjam pada masa akan datang.
Dalam artikel ini, kita akan mengupas lebih lanjut tentang bagaimana bayaran balik pinjaman PTPTN atau tunggakan pinjaman PTPTN boleh mempengaruhi rekod kredit atau CCRIS (Central Credit Reference Information System).

Bagaimana pinjaman PTPTN disenaraikan dalam CCRIS?
Apabila anda mengambil pinjaman PTPTN, maklumat pinjaman anda akan dihantar ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk direkodkan ke dalam sistem CCRIS setelah JBB dijana. Ini termasuk jumlah pinjaman, jumlah tunggakan serta status bayaran balik pinjaman PTPTN.
Maklumat ini akan diperbaharui secara berkala, biasanya pada setiap bulan, kepada pihak CCRIS (BNM). Jika anda membuat bayaran balik pinjaman PTPTN tepat pada masanya, ia akan memberi kesan positif kepada rekod kredit anda. Jika pinjaman anda terdapat tunggakan, anda perlu sedar bahawa situasi tersebut boleh menjejaskan skor kredit anda.



Bayaran balik pinjaman PTPTN atau tunggakan pinjaman PTPTN mempunyai impak yang signifikan dan saling berkait rapat dengan rekod kredit dan maklumat CCRIS anda. Dengan memahami kesan-kesan tersebut, diharap anda dapat membuat keputusan yang bijak dalam menguruskan kewangan pada masa akan datang. Selain itu, anda perlu sentiasa membuat bayaran balik pinjaman PTPTN tepat pada masanya agar rekod kredit anda kekal baik.

Sumber: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), www.ptptn.gov.my