Fahami Apa Itu Caj Penyelenggaraan Dan Kumpulan Wang Penjelas
Bagi yang belum mengetahui istilah seperti caj penyelenggaraan dan kumpulan wang penjelas, anda perlu ketahui mengapa pemilik rumah strata perlu membayarnya dan apa yang akan terjadi jika gagal berbuat demikian
Sekiranya anda tinggal di kondominium, town house, apartmen, rumah flat, atau jenis kediaman yang turut dikenali sebagai rumah strata, pasti anda telah biasa membuat bayaran yuran bulanan bagi caj penyelenggaraan dan kumpulan wang penjelas. Yuran bulanan turut dikenali sebagai yuran penyelenggaraan (maintenance fees – MF). Bagi yang belum mengetahui istilah ini, anda perlu mengetahui mengapa pemilik rumah strata perlu membayarnya dan apa yang akan terjadi jika gagal berbuat demikian.
Ramai yang masih keliru dan tidak faham mengapa pemilik rumah strata masih perlu membayar Kumpulan Wang Penjelas atau lebih dikenali sebagai 'Sinking Fund' sedangkan caj penyelenggaraan turut dikutip pada setiap bulan.
Perbezaan caj penyelenggaraan dengan kumpulan wang penjelas
Caj penyelenggaraan digunakan untuk tujuan penyelenggaraan kemudahan dan harta bersama seperti penyelenggaraan lif, kolam renang, dewan serba guna, perkhidmatan kawalan keselamatan dan kerja-kerja pembersihan serta pembaikan kecil.
Kumpulan wang penjelas pula merupakan 'tabung khas' yang bertujuan untuk pembaikan atau penggantian besar bagi mengekalkan integriti struktur bangunan dan keperluan penting bangunan dan juga harta bersama dari masa ke masa.
Semasa penyerahan milikan kosong (vacant position), pemilik rumah strata perlu mencarum kumpulan wang penjelas, iaitu sebanyak 10% daripada caj penyelenggaraan. Mereka perlu membayar deposit satu (1) bulan serta bayaran pendahuluan untuk tiga (3) bulan sebagai caruman kepada kumpulan wang penjelas mulai tarikh pemilikan kosong dan selepas itu caruman tersebut hendaklah dibayar satu bulan terdahulu. Ini bermakna bayaran kumpulan wang penjelas untuk bulan hadapan perlu dijelaskan pada bulan semasa, dan seterusnya.
Bidang kuasa badan pengurusan yang mengutip kumpulan wang penjelas
Badan pengurusan seperti pihak pemaju, Perbadanan Pengurusan (Management Corporation - MC) atau Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body - JMB) mempunyai kuasa undang-undang di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 dan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 (Jadual H) untuk mengutip kumpulan wang penjelas. Mengikut akta tersebut juga, perbelanjaan kumpulan wang penjelas ini adalah terhad dan hanya dibenarkan untuk kepentingan bangunan dan harta bersama. Hal ini adalah untuk memastikan pihak badan pengurusan membelanjakan dana tersebut secara adil dan saksama.
Selain itu, Klausa 20 (Jadual H) turut menyatakan bahawa pihak pemaju diamanahkan untuk menyimpan kumpulan wang penjelas yang terkumpul sehingga penubuhan badan pengurusan yang rasmi seperti MC atau JMB.
Ini bermaksud pemaju tidak boleh menggunakan wang yang dikutip daripada pemilik rumah untuk tujuan selain daripada tujuan yang ditetapkan oleh undang-undang. Pemaju atau ejennya juga bertanggungjawab untuk menyediakan laporan tahunan audit kepada semua pemilik rumah strata untuk memastikan perbelanjaan dana tersebut digunakan secara telus.
Risiko penyalahgunaan kumpulan wang penjelas
Walaupun Akta Hakmilik Strata membenarkan badan pengurusan menggunakan kumpulan wang penjelas untuk tujuan tertentu sahaja, terdapat kelompongan dari segi cara pengumpulan, perbelanjaan dan pengauditan. Kelompongan tersebut akan memberi peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan dana tersebut.
Oleh itu, kumpulan wang penjelas yang terkumpul perlu diurus dengan lebih telus. Antara cadangan penambahbaikan adalah seperti berikut:
- Penyediaan garis panduan yang lebih jelas tentang cara pengurusan dana tersebut dari segi cara pengumpulan, perbelanjaan, dan pengauditan.
- Laporan tahunan audit perlu dikongsikan bersama pemilik rumah strata untuk memastikan setiap item perbelanjaan yang dibuat oleh badan pengurusan adalah telus dan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
- Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap badan pengurusan yang menyalahgunakan kumpulan wang penjelas.
Hak pemilik rumah strata jika berlaku penyalahgunaan dana
Sekiranya terdapat bukti penyalahgunaan kumpulan wang penjelas, pemilik rumah strata berhak untuk membuat aduan kepada agensi yang berkaitan seperti Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Penyalahgunaan dana tersebut merupakan satu kesalahan besar kerana melanggar peruntukan undan-gundang yang sedia ada. Oleh itu, perbuatan tersebut perlu diadukan kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)