Panduan Memperbaiki Kewangan 

Dunia dilihat masih lagi bergelut membendung penularan wabak COVID-19. Justeru itu, terdapat beberapa panduan kewangan yang boleh diikuti untuk membantu individu dan keluarga dalam menentukan pencapaian kewangan semasa mereka.


Berikut beberapa panduan untuk membantu individu dan keluarga dalam menentukan pencapaian kewangan semasa mereka. Terdapat lima panduan utama yang terlibat dalam proses perancangan kewangan iaitu:


1. Menilai Kedudukan Kewangan Semasa

Kedudukan kewangan semasa boleh ditentukan berdasarkan penyata kewangan peribadi iaitu penyata aliran tunai (cash flow statement) dan penyata nilai harta bersih (net worth statement). Penyata aliran tunai memberikan pengguna maklumat berkaitan daripada mana sumber pendapatan dan ke mana wang yang diterima dibelanjakan. 


Penyata nilai harta bersih menyediakan pengguna maklumat berkaitan aset (harta) dan hutang (liabiliti) seseorang iaitu berapa nilai aset dan hutang semasa. Adalah dicadangkan agar seseorang memeriksa kedudukan kewangan sekurang-kurangnya enam bulan sekali (pada awal dan hujung tahun).



2. Mulakan Dengan Matlamat Kewangan Yang Jelas

Kebiasanya matlamat kewangan ditetapkan pada awal tahun dan matlamat boleh dibahagikan mengikut jangkamasa tertentu iaitu pendek (kurang setahun), sederhana (3-5 tahun) dan panjang (lebih 5 tahun). Menurut pakar kewangan, mereka mencadangkan agar pencapaian matlamat dinilai setiap 3-4 bulan sekali. Hal ini dapat membantu seseorang untuk memeriksa sama ada matlamat kewangan yang telah ditetapkan pada awal tahun dahulu telah berjaya dicapai atau sebaliknya pada akhir tahun tersebut.



3. Menyediakan Pelan Kewangan

Pelan kewangan atau rancangan perbelanjaan (bajet) merupakan komponen penting dalam memancu ke arah pencapaian matlamat kewangan berdasarkan nilai kewangan yang dijangka (bajet) dan nilai kewangan sebenar (aliran tunai sebenar). 


Nilai atau amaun kewangan tersebut (bajet vs. sebenar) ditentukan berdasarkan 4 item utama dalam pelan kewangan iaitu pendapatan, simpanan, hutang dan perbelanjaan sara hidup (tetap vs. berubah). Pelan kewangan disediakan secara bulanan untuk tempoh satu tahun (12 bulan).



4. Melaksanakan Pelan Tersebut

Perbelanjaan perlu dipantau terpulang mengikut kreativiti masing-masing misalnya dengan menggunakan kaedah sampul surat berwarna, buku nota atau aplikasi seperti expense manager dan sebagainya.


Melalui pelan tersebut, anda dapat membuat perbandingan ke atas perbelanjaan yang dirancang dengan perbelanjaan sebenar bagi setiap bulan. Kelebihannya anda dapat mengetahui ke mana wang anda dibelanjakan dan seterusnya dapat memperbaiki semula kedudukan kewangan anda untuk bagi bulan berikutnya. Sekiranya anda mempunyai lebihan pada hujung bulan, wang tersebut boleh digunakan untuk simpanan dan sekiranya defisit, anda perlu kaji semula perbelanjaan atau menangguhkan pembelian yang tidak perlu.



5. Memantau Dan Menilai Semula

Proses perancangan kewangan merupakan proses yang dinamik dan berterusan. Segala maklumat yang diperolehi daripada langkah 1 sehingga 4 amat penting untuk membantu anda memantau dan menilai semula kedudukan kewangan semasa sama ada mempunyai lebihan atau defisit serta nilai harta melebihi nilai hutang yang ditanggung.


Rekod kewangan anda juga perlu disimpan dengan baik bagi membantu anda untuk menentukan jumlah cukai yang perlu dibayar bagi pendapatan penggajian tahunan.


Sekiranya banyak matlamat kewangan tidak tercapai dan kedudukan kewangan semasa kurang baik, anda perlu memeriksa semula langkah 3 dan 4 untuk proses pemulihan dengan melakukan pengubahsuaian ke atas corak pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan hutang anda.


Tindakan ini sebagai satu mekanisme maklum balas untuk ke arah pencapaian matlamat dan kedudukan kewangan yang baik bagi tahun berikutnya.


Sumber: Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia