Perkara Yang Perlu Diketahui Mengenai Skim 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL)
Satu skim perkhidmatan yang membolehkan para pengguna membuat pembelian dengan membahagikan jumlah pembelian kepada bayaran ansuran bulanan, yang kebiasaannya mempunyai 0% faedah. Namun demikian, terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan yang perlu diketahui oleh pengguna sebelum menggunakan perkhidmatan 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL).
Seperti yang kita semua sedia maklum, dengan peredaran zaman kita dapat lihat aktiviti membeli-belah secara dalam talian atau lebih dikenali sebagai online shopping, kini sudah menjadi rutin pengguna di Malaysia. Malahan, ketika musim pandemik ini turut menyaksikan para pengguna memanfaatkan sepenuhnya platform e-dagang dan sekaligus mendorong pengusaha atau peniaga daripada seluruh industri beralih kepada perkhidmatan digital.
Menurut kajian syarikat pengurusan perunding Bain & Company, dianggarkan sebanyak 50% pengguna di Malaysia telah beralih kepada pembelian dalam talian sebagai saluran paling kerap digunakan pada tahun 2021 berbanding pada sebelumnya dan ianya didorong oleh kekangan akibat pandemik yang melanda negara. Penerimaan skim BNPL melalui pembelian dalam talian semakin meningkat dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Apa Itu Skim 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL)?
Tidak dapat dinafikan, kini terdapat ramai penyedia pembelian dalam talian yang menyediakan perkhidmatan BNPL seperti Shopee, Grab, Fave, Bjak, PAYLATER dan lain-lain. Ianya membolehkan para pengguna membuat pembelian dengan membahagikan jumlah pembelian kepada bayaran ansuran bulanan, yang kebiasaannya mempunyai 0% faedah. Ada juga platform yang menawarkan penangguhan pembayaran sehingga hujung bulan, atau bayar pada bulan yang seterusnya. Namun begitu, pengguna mungkin akan dikenakan caj pembayaran lewat jika pengguna tidak menepati perjanjian.
Berikut Adalah Konsep BNPL:
- Jika seseorang pengguna membeli daripada penyedia yang menggunakan perkhidmatan BNPL, mereka boleh memilih untuk membayar melalui platform BNPL.
- Pengguna mungkin perlu membuat *bayaran pendahuluan, kebiasaannya pembayaran ansuran pertama daripada jumlah pembelian.
- Kemudian pengguna perlu membayar jumlah yang selebihnya pada setiap bulan.
*Bergantung kepada polisi sesetengah penyedia perkhidmatan BNPL
Apakah Kelebihan dan Kekurangan BNPL?
Akibat Jika Terlewat Membuat Pembayaran?
1. Caj pembayaran lewat yang tinggi
Pengguna akan dikenakan caj faedah lewat bayar yang tinggi sekiranya tidak mengikut tempoh yang ditetapkan. Caj ini mungkin lebih tinggi berbanding caj yang dikenakan melalui kad kredit.