Scam Melalui Pembelian Dalam Talian di Media Sosial
Ramai scammer menggunakan media sosial untuk menipu para pengguna dengan memperagakan barangan dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Berikut merupakan beberapa nasihat oleh NCCC untuk mengelakkan anda daripada ditipu oleh scammer.
Dalam keperitan yang dilalui oleh orang ramai disebabkan oleh pandemik COVID-19, ramai yang mencari jalan untuk mencari nafkah hidup dengan cara yang halal. Malahan, kerajaan melalui inisiatifnya menggalakkan orang ramai berkecimpung dalam kegiatan ekonomi dalam talian.
Makanan, pakaian serta barangan elektrik dan elektronik menjadi tumpuan para pengguna. Para penjual menggunakan keadaan pandemik ini untuk menjual barangan mereka dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran. Malahan, para pengguna berpendapat bahawa membeli dalam talian lebih menjimatkan masa dan kos lain seperti parkir, tol serta dapat mengelakkan diri daripada berada di tempat yang sesak untuk mengurangkan kadar jangkitan COVID-19. Perkara ini adalah sesuatu yang perlu dibanggakan kerana mereka turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi.
Orang ramai makin berjinak-jinak dengan penjualan dan pembelian dalam talian.
Namun dalam pembelian atas talian, ada ramai scammer yang bertopengan penjual mula memikat para pembeli yang terpaut dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Malah, ada juga yang menawarkan barangan elektronik dalam pakej untuk menjerat golongan pembeli yang muda. Orang dewasa pula ramai yang tertipu dengan barangan elektrik seperti televisyen dan penghawa dingin, manakala kaum wanita pula tertipu bila membeli pakaian, beg tangan serta barangan perhiasan diri dan rumah.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima sebanyak 573 aduan melalui panggilan dan emel dalam enam bulan pertama tahun 2021 dari para pengguna yang telah membeli dari penjual dalam talian. Ini termasuklah aduan mengenai pembelian dari laman berdaftar dan juga dari media sosial atau platform yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Masalah besar yang dihadapi oleh para pengguna adalah mereka yang membeli dari media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Market Place dan sebagainya. Para penjual yang menjual di laman media sosial ini tidak berdaftar dengan mana-mana agensi kerajaan. Ramai yang menggunakan media sosial untuk mencari pendapatan halal dengan menjual barangan makanan, pakaian dan sebagainya dalam era pandemik ini.
Namun demikian, ramai scammer yang menggunakan media ini, memperagakan barangan dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Malah, ada juga yang memberi hadiah atau barangan tambahan untuk menarik minat para pengguna untuk membeli. Para scammer juga mendesak para pembeli untuk mengambil kesempatan ini kerana hadiah atau barangan tersebut adalah terhad. Cara desakan memperdayakan para pembeli untuk membeli barangan tersebut.
Baru-baru ini, seorang pengguna di Sarawak terperdaya dengan scammer yang menjual dron. Harga asalnya adalah RM550 dan scammer tersebut menyatakan terpaksa bayar kos kastam dan pelbagai jenis bayaran sehingga mencecah RM31,000. Ini adalah modus operandi para scammer. Malah, ada seorang pelajar sekolah membeli power bank dari Facebook. Selepas membayar RM 200, pelajar itu dipaksa untuk membayar kos bayaran perlepasan kastam kerana kononnya barang tersebut berada di Indonesia. Sekiranya tidak menyelesaikan bayaran sebanyak RM 500, pembeli itu akan ditangkap dan dipenjarakan kerana penjual membeli barangan seludup. Justeru itu, pelajar tersebut terus menghubungi NCCC dan NCCC menasihatkan pelajar tersebut untuk memaklumkan kepada ibu bapanya dan terus membuat laporan polis.
Para pengguna harus berwaspada bila membeli dari media sosial kerana mereka tidak mempunyai saluran yang sesuai untuk membuat aduan sekiranya barangan yang diterima rosak atau bukan barang yang ditempah. Para pengguna dinasihati supaya membeli dari laman yang berdaftar untuk mengurangkan risiko. Malah, para penjual boleh mendaftarkan diri sebagai penjual di laman yang berdaftar untuk membolehkan mereka menjual barangan mereka.
NCCC turut menerima aduan daripada para pembeli yang membeli daripada penjual di luar laman bahawa barangan yang dihantar adalah barangan yang rosak. Apabila pembeli cuba untuk mendapatkan barangan gantian atau mendapatkan wang kembali, mereka tidak dilayan, malah nombor mereka terus disekat oleh scammer. Para pengguna dinasihati supaya jangan menjalankan urusan dengan penjual dari laman yang berdaftar yang mempelawa untuk berurusan di media sosial.
Para pembeli dinasihati untuk menyemak akaun penjual melalui laman sesawang https:// semakmule.pdrm.gov.my.
Pihak agensi kerajaan yang terlibat perlu mencari jalan untuk membendung para penjual yang menggunakan laman media sosial ini untuk menipu para pengguna. Tindakan yang tegas perlu diambil terhadap scammer ini supaya scammer baru tidak akan bercambah.
Kesimpulannya, para pengguna perlu menjadi seorang pengguna yang bertanggungjawab dengan membeli dari laman yang berdaftar. Para pengguna juga harus membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti pihak Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak polis jika mereka menjadi mangsa scammer.
Jadilah seorang pengguna yang berwibawa dan berhemah.
Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)